| Universiti Putra Malaysia

UPM TERAJUI PENYELIDIKAN PENCEMARAN MIKROFIBER MELALUI GERAN LGRS RM800,000

 

 

SERDANG, 3 Oktober – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohamad Sadullah menghadiri Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.

 

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

 

Pada majlis tersebut, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Kesihatan (FPSK), UPM, Prof. Dr. Sarva Mangala Praveena menerima Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LGRS) 2025 berjumlah RM800,000 bagi projek penyelidikan bertajuk “Translational Research on Microfiber Pollution: From Household Emissions to River Contamination and Sustainable Mitigation Strategies” yang dilaksanakan bersama rakan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaya (UM).

 

Prof. Dr. Sarva Mangala berkata, pengiktirafan melalui LGRS 2025 ini mengukuhkan kedudukannya sebagai penyelidik universiti di Malaysia yang diiktiraf bertaraf dunia, bukan sahaja dalam penghasilan ilmu baharu, malah dalam menyediakan penyelesaian lestari terhadap cabaran alam sekitar.

“Melalui geran ini, penyelidikan akan memberi tumpuan kepada kuantifikasi pelepasan mikrofiber daripada pelbagai jenis pakaian, tahap pencemaran sungai, serta pembangunan strategi mitigasi lestari di peringkat isi rumah,” katanya.

 

Tambah beliau, pencemaran mikrofiber merupakan bentuk pencemaran senyap yang ramai tidak sedari.

 

“Setiap kali pakaian dibasuh, mikrofiber halus dilepaskan ke dalam sistem perparitan lalu mencemari sungai dan memberi kesan jangka panjang terhadap ekosistem serta kesihatan manusia,” katanya.

 

Prof. Dr. Sarva Mangala berkata, kajian awal di luar negara menunjukkan mesin basuh adalah antara sumber utama pelepasan mikrofiber daripada pakaian, namun data penyelidikan di Malaysia masih terhad.

 

“Penyelidikan ini penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa tindakan harian kita seperti mencuci pakaian boleh menyumbang kepada pencemaran mikroplastik.

 

“Harapan saya agar masyarakat dapat membuka mata terhadap keperluan mengurangkan pelepasan mikrofiber serta menyokong amalan gaya hidup mesra alam,” katanya.

WYKEQAk~