| Universiti Putra Malaysia

Cita-cita jadi ahli dietetik dorong gadis Orang Asli ke menara gading

 

SERDANG, 4 Oktober – Keinginan untuk membantu komuniti Orang Asli memahami kepentingan pemakanan sihat menjadi pendorong utama Layla Salikin Shali, 21, melanjutkan pengajian dalam bidang Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Menurut Layla, masyarakat Orang Asli masih kurang menitikberatkan aspek pemakanan sehingga bergantung kepada ubat-ubatan semata-mata untuk menjaga kesihatan.

 

“Saya memilih bidang dietetik kerana mahu mendalami ilmu pemakanan dan seterusnya membantu komuniti saya memperbaiki gaya hidup mereka. Bagi saya, pemakanan yang betul boleh menentukan kualiti hidup seseorang,” katanya.

 

 

Walaupun berdepan cabaran internet yang lemah di kawasan pedalaman hingga sukar mengikuti kelas dalam talian, Layla tetap berpegang pada semangat untuk tidak berputus asa.

 

“Kadang-kadang saya langsung tidak dapat membuka aplikasi Google Meet semasa kelas berlangsung, tetapi saya selalu ingatkan diri bahawa setiap usaha pasti ada hasilnya,” ujarnya.

 

Anak kepada peneroka sawit dan suri rumah sepenuh masa ini turut menjadikan keluarganya sebagai sumber kekuatan, terutama ayahnya yang gigih bekerja demi menyara keluarga.

 

“Idola saya ialah ayah. Walaupun hidup susah, beliau tidak pernah berhenti berusaha. Dari situ saya belajar untuk terus tabah mengejar impian,” katanya yang bercita-cita bergelar ahli dietetik profesional suatu hari nanti.

XZKHFA~