| Universiti Putra Malaysia

Bantuan Awal Pengajian UPM Ringankan Beban Pelajar Dietetik

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

SERDANG, 4 Oktober -

Bantuan awal pengajian dari Universiti Putra Malaysia telah membantu Sangeeta Chandran, 21, untuk melanjutkan pengajiannya di sini.

 

Sangeeta yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, berkata masalah kewangan utama yang dihadapinya ialah membayar yuran pengajian.

 

“Saya bersyukur kerana terpilih menerima Bantuan Awal Pengajian UPM yang membantu saya dari segi kewangan.

 

“Bantuan ini sangat membantu saya untuk menampung perbelanjaan harian sepanjang berada di UPM,” katanya.

 

Sangeeta hanya mampu membayar separuh daripada jumlah yuran dan selebihnya akan saya bayar menggunakan pinjaman PTPTN.

 

“Saya turut menghadapi kesukaran untuk menampung keperluan asas seperti ubat-ubatan dan peralatan pembelajaran,” katanya.

 

 

Selain itu, beliau memilih Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian kerana beliau meminati bidang ini sejak dari sekolah.

 

“Sejak zaman persekolahan lagi, saya memang berminat terhadap bidang makanan dan minat itu mendorong saya untuk terus melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan makanan.

 

“Bagi saya, makanan yang baik mampu menentukan sama ada kehidupan seseorang itu indah atau sebaliknya,” katanya.

 

Beliau turut mempunyai tiga orang adik-beradik dan kakaknya menanggung semua keperluan kewangan untuk kemasukan di universiti.

 

“Perkara paling besar yang dilakukan oleh kakak saya ialah menanggung semua keperluan, termasuk yuran pengajian dan keperluan asas yang digunakan di universiti.

 

“Kakak banyak membantu saya, bukan sahaja dari segi kewangan malah juga menjadi sumber kekuatan dan sokongan mental sepanjang masa,” katanya.

WYKESAx~