| Universiti Putra Malaysia

UPM jadi pilihan Vincent Siaw dalam mengejar impian bidang kejuruteraan perisian

 

SERDANG, 4 Oktober – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi destinasi pilihan pelajar Bacelor Kejuruteraan Perisian dengan Kepujian di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UPM, Vincent Siaw Yi Cheng untuk melanjutkan pengajian di ‘Menara Ilmu’.

 

Vincent Siaw, 19, yang berasal dari Papar, Sabah yang berbangsa Sino Kadazan berkata beliau memilih untuk ke UPM berdasarkan kecemerlangan universiti dalam bidang penyelidikan serta reputasi UPM sebagai kampus hijau yang kondusif untuk pembelajaran.

 

“Saya pilih UPM kerana suasana kampus yang hijau, komuniti pelajarnya yang besar serta FSKTM yang mempunyai rekod penyelidikan cemerlang. Saya juga mahu keluar dari zon selesa di Sabah untuk mendapatkan pengalaman lebih luas,” katanya.

 

Beliau yang pertama kalinya ke Semenanjung Malaysia berkata, keputusannya melanjutkan pengajian di Semenanjung adalah untuk membuka peluang untuk dirinya menimba pengalaman serta mengenali masyarakat dari pelbagai berbilang latar belakang.

 

 

“Sebagai anak Borneo saya mahu mendedahkan diri kepada suasana berbeza. Saya berazam untuk menyertai pelbagai pertandingan dalam bidang pengajian di peringkat fakulti serta universiti dan mengharumkan nama UPM,” katanya

 

Sementara itu, ibunya, Aini Sandur, 46, berkata beliau memberi peluang kepada anak beliau ke UPM kerana percaya pendidikan adalah kunci kejayaan masa depan.

 

“Sebagai seorang ibu, saya hanya mahukan yang terbaik dan sangat berbesar hati apabila anak dapat ke UPM. Harapan saya agar dia belajar bersungguh-sungguh, menjaga diri di negeri orang dan pulang membawa kejayaan,” katanya.

WYKESA0~