SERDANG, 4 Oktober – “Pendidikan tinggi tetap menjadi keutamaan walaupun anda seorang atlet elit,” kata Atlet Memanah Kebangsaan, Nurul Ain Fitri Ramli, 20, yang kini melanjutkan pengajian dalam Bacelor Kejuruteraan Awam dengan Kepujian di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Nurul Ain Fitri yang berasal dari Batu Pahat, Johor, berkata dunia sukan mempunyai tempoh tertentu justeru pendidikan akademik menjadi landasan jangka panjang untuk masa depan.
“Jangan sesekali beranggapan jika pencapaian sukan sudah di peringkat tertinggi dan melupakan akademik. Sukan ada tempoh masanya masanya tetapi pendidikan adalah bekalan sepanjang hayat,” katanya.
Beliau yakin memilih UPM untuk melanjutkan pengajian kerana melihat majoriti atlet negara menamatkan pengajian di kampus hijau ini.
“Mengambil jurusan kejuruteraan bukanlah sesuatu yang mudah tetapi kerana minat saya akan menempuhi cabarannya.
“Antara faktor saya mengambil program pengajian ini adalah untuk meneruskan legasi syarikat bapa yang kini berdepan masalah kesihatan selepas diserang strok tahun ini,” katanya.
Bercerita tentang bagaimana beliau berkecimpung dalam sukan memanah, Nurul Ain mula berjinak-jinak dengan sukan memanah sejak Darjah 4, hampir sedekad lalu dan kini terus komited mengimbangi antara latihan intensif sebagai atlet kebangsaan dengan pengajian akademik yang mencabar.
“Cabaran mengimbangi latihan dan akademik bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak di bangku sekolah lagi saya sudah melalui rutin ini dan saya akan terus kekalkan momentum untuk berjaya dalam kedua-duanya,” katanya.
Impiannya untuk mengangkat nama UPM di kejohanan berprestij antaranya Asian University Games (AUG) dan World University Games (WUG).
Kini, Nurul Ain menaruh harapan untuk dipilih menyertai Kejohanan Memanah Asia (Asian Archery Championship) di Jeddah yang akan akan berlangsung pada hujung tahun ini.