| Universiti Putra Malaysia

Daftar seorang diri bukan penghalang Iyaad ke UPM

 

SERDANG, 4 Oktober – Perjalanan jauh dari Tuaran, Sabah, tidak mematahkan semangat seorang anak muda untuk menjejakkan kaki ke Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Pelajar Bacelor Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UPM, Iyaad Dzulkarnaen Salleh, 21, hadir seorang diri untuk mendaftar masuk ke UPM, hari ini.

 

Anak kedua daripada lima beradik ini terpaksa berdikari apabila kos penerbangan dan penginapan yang agak tinggi menyebabkan ibu bapanya tidak dapat menemaninya.

 

“Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 1 pagi tadi dan berehat seketika di surau dan kemudiannya terus bergerak ke UPM untuk sesi pendaftaran pada pagi ini,” katanya.

 

Bagi Iyaad, pengalaman mendaftar tanpa ditemani keluarga bukanlah sesuatu yang asing kerana sewaktu menuntut di peringkat diploma dahulu, beliau juga melalui detik yang sama.

 

 

“Dulu memang sedih kerana tiada ahli keluarga bersama. Tetapi kali ini saya sudah biasa cuma perasaan rindu terhadap kampung halaman itu tetap ada,” katanya.

 

Beliau memilih UPM kerana berhasrat memperluas pengalaman dan bakat dengan menimba ilmu di Semenanjung Malaysia.

 

“Saya yakin dengan program pengajian yang ditawarkan di universiti ini dan rakan-rakan saya juga pernah berkongsi informasi bahawa UPM adalah universiti terbaik untuk menyambung pengajian,” katanya.

 

Beliau turut menitipkan pesan buat rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak agar tidak gentar untuk merantau demi menuntut ilmu.

 

“Memang takut awal-awal untuk belajar jauh dari kampung halaman tetapi pada akhirnya ia sangat berbaloi kerana kita belajar berdikari dan mengenali tempat orang,” katanya.

WYKESAr~