| Universiti Putra Malaysia

UPM tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Piawaian DICOM & Seminar Awam DICOM 2025




SERDANG, 29 September
– Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Piawaian Digital Imaging and Communications in Medicine (DICOM) serta Seminar Awam DICOM 2025, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib, berkata penganjuran ini memperkukuh kepakaran Malaysia dalam bidang pengimejan dan informatika perubatan di peringkat global.

“Perbincangan dua hari tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan, pengesahan dan penambahbaikan piawaian DICOM bagi menjamin keserasian sistem pengimejan perubatan global.,” katanya.

Selain itu, penganjuran mesyuarat tersebut membuka ruang luar biasa untuk pakar, penyelidik dan pelajar bertukar pandangan serta memacu inovasi.



Selain itu, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Fred Behlen dari Laitek, Amerika Syarikat, dengan penyertaan wakil delegasi daripada syarikat gergasi teknologi kesihatan seperti Siemens Healthineers, Canon Medical, CIMICS, JAHIS, NEMA, selain ahli akademik dan penyelidik tempatan.

Dekan Fakulti Sains, UPM, Prof. Madya Dr. Nor Azwady Abd. Aziz, berkata kerjasama ini berpotensi memberi impak besar kepada transformasi digital sektor kesihatan, selain merintis peluang baharu dalam pembangunan akademik dan kolaborasi industri.

“Dengan penganjuran berskala antarabangsa ini, UPM bukan sahaja mengangkat profilnya di persada global, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi kesihatan digital terkemuka di Asia Tenggara,” katanya

WYKCAAN~