Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
PUTRAJAYA, 29 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Apresiasi Industri dan Komuniti (ICAN 2025) sebagai pengiktirafan kepada sumbangan rakan industri, komuniti serta warga kampus sepanjang tahun 2023 dan 2024.
Majlis dwitahunan edisi ke-11 itu menjadi platform memperkukuh hubungan strategik UPM dengan pelbagai pihak, selain menyuntik motivasi kepada warga kampus untuk terus cemerlang dalam bidang jaringan industri dan komuniti.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata usaha yang dijalinkan bersama industri dan masyarakat akan memberi impak kepada masyarakat dalam pembangunan negara.
“Majlis ini bukan sekadar bentuk pengiktirafan, malah ini adalah hasrat universiti UPM yang berperanan sebagai ‘Menara Ilmu’ tidak terhenti di sempadan kampus sebaliknya boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, Pusat Tanggungjawab (PTJ) Centre for Industry Relations and Networks (CiRNeT) dan University Community Transformation Centre (UCTC) berperanan menjadi penghubung penting antara universiti dengan masyarakat.
“Ini termasuk dalam memperkasa isu keterjaminan makanan melalui sinergi antara akademia, industri dan komuniti,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin, berkata kerjasama universiti dengan pihak luar memberi peluang signifikan kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman industri, sekali gus melahirkan graduan yang berdaya saing.
“Kerjasama ini memperkukuhkan lagi kedudukan UPM sebagai universiti bereputasi tinggi,” katanya.
Majlis tersebut turut melancarkan Sistem PutraExpert, sebuah platform carian pintar menghimpunkan profil pakar akademik UPM mengikut bidang kepakaran, pencapaian dan maklumat perhubungan.
Sistem itu memudahkan industri, agensi kerajaan, NGO dan komuniti penyelidik mengakses kepakaran UPM bagi tujuan rundingan, kerjasama penyelidikan dan pembangunan komuniti.
Selain itu, Newsletter JINM diperkenalkan sebagai saluran komunikasi rasmi untuk menyampaikan informasi terkini berkaitan aktiviti jaringan industri dan komuniti serta mempromosikan perkhidmatan JINM.
Sementara itu, ICAN 2025 turut meraikan pelbagai kategori anugerah melibatkan fakulti, institut, pusat, kolej, rakan industri dan komuniti terbaik.
Anugerah khas diberikan kepada projek jaringan pelajar, pegawai akademik, pegawai bukan akademik, rakan industri serta komuniti yang mencapai penarafan empat hingga lima bintang, berimpak tinggi, lestari dan memperkasakan masyarakat.
Penolong Arkitek Landskap JA36, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Nor Azizah Mahamud, berkata pengiktirafan itu memberi galakan besar kepada komuniti setempat.
“Pihak UPM banyak membantu sejak 2014 melalui penganjuran kelas pertanian bersama pakar universiti. Harapan saya agar pengiktirafan ini diteruskan bagi mengukuhkan lagi penglibatan komuniti,” katanya.
Pengarah Urusan Elite Scientific Instruments Sdn. Bhd., Hassim Mohamad Isa, berkata usaha UPM menganjurkan penganugerahan sebegini sebagai langkah tepat kerana melibatkan kerjasama erat universiti dan industri.
“Penglibatan komuniti dan industri memainkan peranan penting untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Saya berharap lebih banyak pihak industri dapat bersama UPM dalam menyumbangkan aktiviti untuk kebaikan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, majlis turut menampilkan inisiatif CEO@PTJ yang membawa Ketua Pegawai Eksekutif dan peneraju industri dari dalam serta luar negara bagi berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan bimbingan kepada warga kampus.
Program CEO@UPM di setiap fakulti bertujuan meningkatkan integrasi akademia dan industri, kebolehpasaran graduan serta laluan kerjaya lebih luas, dengan alumni UPM turut diberi keutamaan mengisi peranan tersebut bagi tempoh minimum setahun.