| Universiti Putra Malaysia

IPPH Rai 20 Tahun, Tokoh Halal Dirai di Gala Dinner MIHREC 2025

 

 

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

PUTRAJAYA, 22 September – Malam Gala Malaysia International Halal Research & Education Conference (MIHREC) 2025 yang berlangsung di The Everly Hotel, Putrajaya semalam menyerlah sebagai acara berprestij menghimpunkan tokoh, penyelidik, penggubal dasar serta pemain industri halal antarabangsa sempena meraikan ulang tahun ke-20 Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Majlis itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, yang turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Halal kepada penerima-penerima terpilih sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar mereka dalam memacu pembangunan ekosistem halal.

 

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa MIHREC bukan sekadar platform perkongsian ilmu, sebaliknya terbukti sebagai jambatan kolaborasi antara akademia, industri dan penggubal dasar.

 

“MIHREC 2025 telah terbukti menjadi platform yang diyakini dalam perkongsian ilmu dan kerjasama, sekali gus memperkukuh ekosistem halal global. Dengan adanya pengiktirafan ini, kita bukan sahaja meraikan kejayaan terdahulu, tetapi turut membina inspirasi untuk masa depan halal yang lebih gemilang,” katanya.

 

Sorotan utama malam tersebut ialah penyampaian tiga anugerah berprestij, iaitu The Outstanding Halal Scientist and Leadership Award yang diberikan kepada Allahyarham Dato’ Prof. Emeritus Dr. Yaakob Che Man, The Halal Science & Innovation Award kepada Allahyarham Prof. Madya Dzulkifly Mat Hashim, dan The Halal Academia-Industry Integration Pioneer Award yang disampaikan kepada Roziatul Akmam Osman. Ketiga-tiga anugerah itu menjadi penghargaan terhadap pencapaian dan sumbangan besar penerima dalam bidang sains halal, inovasi serta integrasi akademia-industri yang telah melonjakkan kedudukan Malaysia di persada halal antarabangsa.

 

Malam Gala turut menyaksikan kehadiran wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, penggubal dasar, tokoh industri halal serta rakan strategik antarabangsa, menjadikannya wadah jaringan kerjasama yang memperkukuh aspirasi Malaysia sebagai pusat rujukan halal global.

 

MIHREC 2025 yang dianjurkan oleh IPPH dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), agensi kerajaan, universiti tempatan dan antarabangsa serta pemain industri, berlangsung pada 21–22 September di The Everly, Putrajaya.

XZKHFAv~