| Universiti Putra Malaysia

Dua Kadet UPM Dinobat Kadet Terbaik PALAPES 2025

 

 

 

 

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

SERDANG, 13 September – Dua pegawai kadet Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobat sebagai Kadet Terbaik Darat dan Laut sempena Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-43, di sini hari ini.

 

Putera Shah Naqiuddin Badrul Shah, pelajar Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan Kepujian, menerima anugerah Kadet Terbaik PALAPES Darat UPM.

 

Beliau berkata, penyertaannya dalam PALAPES adalah untuk mencabar diri dari segi mental dan fizikal serta membina disiplin yang lebih kukuh.

 

“Saya mahu berkhidmat untuk negara walaupun masih bergelar mahasiswa. Penyertaan ini mengajar saya erti tanggungjawab, pengurusan masa dan ketahanan diri dalam menghadapi tekanan,” katanya.

 

Putera Shah turut menambah bahawa latihan ketenteraan yang dilalui, termasuk pengendalian senjata dan aktiviti medan, membina keyakinan diri serta mematangkan beliau sebagai seorang pemimpin pelapis.

 

Sementara itu, Mohamad Danial Hakim Yazid, pelajar Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian, menerima anugerah Kadet Terbaik PALAPES Laut UPM.

 

Menurut beliau, penglibatan dalam PALAPES menjadi platform untuk menonjolkan keunikan diri, bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi juga kepimpinan, disiplin dan keterampilan diri setara seorang pegawai tentera.

 

“Latihan yang dijalankan banyak membantu saya menimba ilmu dan pengalaman berharga, termasuk bagaimana bekerjasama secara efektif dalam pasukan, berdepan cabaran dengan cekap dan berdaya tahan, selari dengan nilai Angkatan Tentera Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pengalaman menyertai kursus pelayaran bersama Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera selama seminggu yang disifatkan sebagai medan pembelajaran penting dalam memahami aspek kepimpinan laut.

 

Kedua-dua anugerah tersebut diberikan berdasarkan pencapaian cemerlang dalam latihan ketenteraan, kepimpinan, disiplin dan komitmen sepanjang pengajian di UPM.

WYKBJAc~