Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 26 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Kejuruteraan (FK) hari ini melancarkan Projek Turapan Jalan Fiber Mastic Asphalt 20 (FMA20) menggunakan Bitumen Terubahsuai Mampan (PG76), yang diperkenalkan sebagai teknologi turapan lebih tahan lama dan mesra alam.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, projek ini mencerminkan hasil penyelidikan universiti yang mampu menjadi penyelesaian praktikal dengan sokongan rakan industri serta penglibatan warga kampus.
“Projek ini istimewa kerana mengaplikasikan teknologi hasil penyelidikan universiti iaitu Fibre Mastic Asphalt 20 (FMA20). Teknologi ini membuktikan bagaimana ilmu, inovasi dan kepakaran warga universiti dapat diterjemahkan kepada produk sebenar bagi menyokong agenda negara dalam keselamatan jalan raya, inovasi hijau dan pembangunan mampan,” katanya.
Beliau menambah, projek ini turut menjadi platform pembelajaran praktikal bagi pelajar dalam mengukuhkan penyelidikan fakulti, selain menyerlahkan peranan UPM sebagai pusat rujukan dalam bidang Kejuruteraan Lebuh Raya dan Turapan di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Projek naik taraf jalan ini bukan sekadar turapan, tetapi juga turapan ilmu, inovasi dan sinergi,” ujarnya.
Dalam pada itu, inisiatif ini turut dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara universiti dan industri di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat.