| Universiti Putra Malaysia

UPM lepaskan 20,000 benih ketam renjong, perkukuh kelestarian marin dan pendapatan nelayan

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 19 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) melepaskan 20,000 benih ketam renjong (ketam bunga) di Sungai Rambai, Melaka, baru-baru ini sebagai usaha memperkukuh kelestarian sumber marin, meningkatkan hasil tangkapan nelayan serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

 

Program pelepasan benih itu dilaksanakan sempena Program Santai D’Nelayan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan menghimpunkan pelbagai agensi serta komuniti nelayan setempat.

 

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPM, Dato’ Sri Jailani Johari dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh.

 

Dato’ Sri Jailani berkata, penyertaan UPM mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong pembangunan komuniti pesisir melalui pemindahan ilmu, penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

 

“Program ini selaras dengan slogan ‘Berilmu Berbakti’ serta memperkukuh usaha pemuliharaan sumber marin menerusi penghasilan benih berkualiti tinggi hasil penyelidikan dan inovasi I-AQUAS,” katanya.

 

Pengarah I-AQUAS, UPM, Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris, berkata UPM telah melepaskan lebih 300,000 benih ketam di Sungai Rambai sejak program tersebut dilaksanakan serta memindahkan teknologi kepada komuniti nelayan bagi meningkatkan produktiviti dan hasil tangkapan.

 

“Usaha ini bukan sahaja membantu memulihkan stok sumber perikanan, malah memberi impak positif kepada pendapatan nelayan dan menyokong keterjaminan makanan negara,” katanya.

 

Selain program pelepasan benih ketam, UPM turut memperkukuh pembangunan sektor akuakultur melalui pelepasan benih udang galah serta kerjasama strategik dengan Melaka Biotechnology Corporation bagi penubuhan Pusat Kecemerlangan Udang Galah di Merlimau.

 

Inisiatif berterusan itu memperlihatkan peranan UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menjana penyelidikan berimpak tinggi, malah menterjemahkan hasil inovasi kepada penyelesaian sebenar bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti dan memelihara kelestarian sumber akuatik negara.

XZKGHA7~