Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 19 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi penganjuran Program Mobiliti Bridging Borders: United Kingdom–Malaysia yang memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap landskap pendidikan tinggi, jaringan akademik dan peluang kerjaya di United Kingdom.
Program selama 14 hari itu dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Kolej (MPK), KOSASS sesi 2025/2026 dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa (KM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), University of Exeter, University of Southampton dan Pengurusan KOSASS, UPM.
Selain itu, program tersebut disertai lapan mahasiswa UPM yang terdiri daripada empat pelajar bacelor dan empat pelajar pascasiswazah serta seorang pegawai pengiring, dengan pengisian melibatkan kunjungan akademik ke University of Exeter, University of Southampton dan Imperial College London, selain kunjungan ke Education Malaysia London.
Pengarah Program Bridging Borders: United Kingdom–Malaysia, Nur Jannah Syazwana, berkata program tersebut menjadi titik permulaan kepada pembinaan jaringan antarabangsa yang lebih luas untuk KOSASS dan UPM, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti mahasiswa.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mengenali sistem pendidikan tinggi di United Kingdom, malah membuka ruang untuk membina hubungan dengan institusi akademik dan komuniti profesional di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap hubungan yang telah terjalin bersama universiti-universiti di United Kingdom dapat terus diperkukuh melalui lebih banyak kolaborasi akademik, perkongsian ilmu, penyelidikan dan peluang mobiliti mahasiswa pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, pengalaman yang diperoleh mahasiswa sepanjang program turut diharap dapat mendorong mereka untuk membawa perspektif baharu ke dalam komuniti universiti serta lebih yakin membawa nama UPM ke peringkat antarabangsa.
Sepanjang program, delegasi berpeluang menyertai sesi jaringan dan pendedahan akademik bersama University of Exeter, University of Southampton dan Imperial College London, sekali gus memberi peluang kepada peserta memahami persekitaran pendidikan tinggi dan perkembangan akademik di United Kingdom.
Selain pengisian akademik, delegasi turut berkunjung ke Education Malaysia London bagi mendapatkan pendedahan mengenai peranan serta perkembangan pendidikan Malaysia di United Kingdom menerusi sesi perkongsian yang disampaikan oleh Pengarah Education Malaysia London, Prof. Madya Dr. Mohd Hanafi Ahmad Damanhuri.
Kunjungan itu turut membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi dengan alumni UPM, Iqbal Ismat Noordin, alumni UPM tahun 2013 yang kini bertugas sebagai Atase Pendidikan di Education Malaysia London.
Pertemuan bersama alumni tersebut memberi gambaran kepada peserta mengenai perkembangan kerjaya graduan UPM di peringkat antarabangsa, selain menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa untuk meneroka peluang kerjaya dan membina jaringan profesional selepas tamat pengajian.
Pegawai pengiring program, Dr. Mohd Hadi Akbar Basri, berkata penglibatan mahasiswa dalam program mobiliti antarabangsa seperti itu penting bagi membentuk graduan yang mempunyai keterbukaan terhadap persekitaran global serta berani meneroka peluang di luar negara.
“Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif antarabangsa yang diterajui mahasiswa serta membuka ruang kepada generasi akan datang untuk meneroka peluang yang lebih luas di peringkat global.
“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi UPM melalui Pelan Pemacu Kesohoran Global UPM 2026–2035 dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan universiti dan agensi antarabangsa serta meningkatkan keterlihatan UPM di persada antarabangsa,” katanya.
Selain pengisian akademik dan profesional, peserta turut berpeluang meneroka sejarah, budaya dan warisan United Kingdom melalui kunjungan ke beberapa lokasi ikonik di London.
Pengalaman tersebut melengkapkan pengisian program dengan memberi peluang kepada peserta memahami kepelbagaian budaya dan masyarakat United Kingdom, di samping membina kemahiran insaniah, keyakinan diri serta keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa.
Sementara itu, pelajar Tahun Tiga, Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, Nur Aqilah Dayini Abdul Kadir, berkata program tersebut memberikan pengalaman bermakna menerusi pendedahan secara langsung kepada kehidupan akademik serta pengalaman pelajar pascasiswazah di universiti di United Kingdom.
“Perkongsian secara langsung bersama pelajar pascasiswazah membantu saya memahami dengan lebih jelas proses dan pengalaman melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah. Pendedahan ini turut meningkatkan motivasi saya untuk membuat persediaan awal serta merancang laluan akademik pada masa hadapan,” katanya.
Bagi pelajar Doktor Falsafah (PhD) Agronomi, Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), UPM, Hussain Tahir, berkata sesi perkongsian dan pembentangan penyelidikan dalam bidang pertanian di University of Exeter dan University of Southampton memberikan manfaat besar kepada perjalanan akademiknya.
“Sesi tersebut memberikan input dan perspektif baharu yang amat membantu saya dalam memperkukuh kajian PhD serta melengkapkan pengajian,” katanya.



.jpg)


