
Oleh: Aimi Mohamad Farid
Foto oleh: Noor Azreen Awang
PUTRAJAYA, 14 Ogos - Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Operasi Bomba Sihat: Program Kesihatan dan Kesejahteraan Komuniti bagi meningkatkan kesedaran warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai kepentingan penjagaan kesihatan fizikal, pergigian dan mental.
Program yang berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 itu melibatkan pemeriksaan kesihatan dan pergigian, saringan awal dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), ceramah kesihatan mental, kempen derma darah serta taklimat pengendalian kecemasan dan penyelamatan.
Ketua PKU UPM, Dr. Arma Noor berkata, program itu dilaksanakan bagi menyokong tahap kesihatan anggota bomba yang memerlukan kecergasan fizikal serta kesediaan untuk melaksanakan tugas pada bila-bila masa.
“Kerja anggota bomba sangat mencabar dan memerlukan mereka sentiasa sihat dan cergas. Justeru, program ini memberi peluang kepada mereka mendapatkan pemeriksaan, saringan serta pendidikan kesihatan di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut membantu meningkatkan kesedaran warga bomba mengenai penjagaan kesihatan serta membolehkan masalah kesihatan dikenal pasti lebih awal bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Program itu dijayakan menerusi kerjasama PKU UPM, Seksyen Kaunseling Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM, Pusat Darah Negara, Bahagian Kesihatan Pergigian PKU UPM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta JBPM.

Pengarah program, Dr. Nurul Syahirah Zakaria berkata, program itu dirangka bagi meningkatkan kesedaran kesihatan fizikal, pergigian dan mental dalam kalangan warga bomba menerusi pemeriksaan serta konsultasi oleh pegawai berkaitan.
“Selain pemeriksaan kesihatan dan pergigian, kami turut membawa seksyen kaunseling bagi memastikan aspek kesihatan mental dan emosi dalam kalangan warga bomba diberi perhatian,” katanya.
Menurut beliau, program itu turut memupuk semangat kesukarelawanan menerusi aktiviti derma darah, selain menjadi medium untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga bomba dalam menjaga keselamatan masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JBPM Putrajaya, Dato’ Haji Nordin Pauzi berkata, tahap kesihatan yang baik dalam kalangan anggota bomba mempunyai kaitan langsung dengan keupayaan mereka melaksanakan tugas dengan cekap, pantas dan selamat.

“Kesihatan anggota bukan sekadar isu peribadi, tetapi merupakan sebahagian daripada kesiapsiagaan pengoperasian kerana setiap tindakan ketika kecemasan memerlukan kekuatan fizikal, daya tahan, fokus dan ketahanan mental,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PKU UPM serta semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan program itu dan berharap kerjasama strategik antara JBPM dan UPM dapat diteruskan menerusi program yang memberi manfaat kepada warga jabatan.



.jpg)


