| Universiti Putra Malaysia

UPM anugerahkan Ijazah Anumerta kepada mendiang Danesh Mathivanan

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 1 Disember – Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 Sidang 2 hari ini diselubungi suasana pilu apabila universiti menganugerahkan Bacelor Sains Pembangunan Manusia Dengan Kepujian secara anumerta kepada mendiang Danesh Mathivanan, 24, yang merupakan atlet bola tampar negara dan pelajar Fakulti Ekologi Manusia (FEM), hari ini. 

 

Ijazah tersebut disampaikan kepada ibu bapa mendiang, Mathivanan Nagapan dan Valli Nadesan, yang hadir dengan penuh ketabahan meskipun masih berdepan kehilangan anak tunggal mereka.

 

Menurut ibunya, mendiang Danesh bukan sahaja dikenali sebagai pelajar berdisiplin dan disenangi pensyarah, malah merupakan atlet bola tampar negara yang aktif menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

“Ikutkan hati, saya tidak mampu hadir. Tetapi kami kuatkan semangat untuk menerima ijazah mendiang Danesh. Ini satu-satunya kenangan abadi yang tinggal,” katanya dalam nada sebak.

 

Mendiang Danesh menghubungi ibunya buat kali terakhir pada 30 April 2025, sehari sebelum tragedi berlaku.

 

“Saya minta dia balik, tapi dia kata ada kuliah dan berjanji untuk pulang pada minggu ulang kaji. Saya masih teringat suara dia,” katanya.

 

Pada awal pagi 1 Mei 2025, keluarga menerima berita mengejutkan bahawa Danesh terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sprint ketika dalam perjalanan untuk menghadiri sesi latihan bola tampar. Beliau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

 

 

“Kami terima panggilan mengatakan anak saya terbabas sendiri. Dunia saya runtuh sekelip mata,” katanya.

 

Pasangan dari Kelantan itu berkata, mereka kali terakhir bertemu mendiang 10 hari sebelum kejadian ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan keluarga.

 

“Dia kelihatan ceria, tersenyum dan gembira dapat berjumpa saudara-mara. Langsung tidak kami sangka itu kali terakhir kami melihatnya,” kata bapanya, Mathivanan.

 

Beliau turut berkongsi bahawa Danish sepatutnya memulakan kerjayanya tidak lama selepas tamat pengajian dan menjadi harapan keluarga.

 

“Kami sangka dia akan mula bekerja dan menjaga kami, tetapi takdir Tuhan menentukan sebaliknya,” katanya.

WYMCPA~