Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
SERDANG, 3 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan dalam penghasilan dan pengesahan bahan tanaman tulen serta berkualiti apabila menerima Anugerah Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) Kategori Rakan Galakan SPBT - Tanaman Buah-buahan Luar sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kepada Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Industri Benih Tulen dan Berkualiti Negara anjuran Jabatan Pertanian Malaysia.
Pengarah, Pusat Pertanian Putra (PPP), UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin, berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam menyokong pembangunan industri benih tanaman negara melalui penghasilan bahan tanaman yang disahkan dan mempunyai ketulenan varieti.
“PPP melalui Nurseri Buah-Buahan, Unit Tanaman, Seksyen Tanaman telah terlibat dalam Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) sejak 2016 iaitu selama kira-kira 11 tahun dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran anak benih tanaman buah-buahan yang telah melalui proses pengesahan dan pensijilan Jabatan Pertanian Malaysia.
“Sepanjang tempoh tersebut, UPM telah menghasilkan hampir 30,000 anak benih yang disahkan, melibatkan kira-kira 14 varieti tanaman buah-buahan terpilih untuk kegunaan dan pembelian oleh pengguna serta petani,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan UPM dalam SPBT turut memperlihatkan peranan universiti sebagai rakan rujukan dalam mengenal pasti ketulenan bahan tanaman, khususnya bagi memastikan anak benih yang dihasilkan menepati varieti dan klon yang sepatutnya.
“UPM sering menjadi pusat rujukan dalam pengenalpastian dan penentuan ketulenan benih tanaman buah-buahan seperti durian, jambu dan rambutan serta pelbagai tanaman buah-buahan lain.
“Ketulenan bahan tanaman amat penting kerana penggunaan anak benih yang tidak menepati klon atau varieti sebenar boleh menjejaskan hasil, kualiti tanaman dan pulangan kepada petani apabila pokok telah matang,” katanya.
Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah berkata, PPP, UPM turut mempunyai kepakaran dalam menghasilkan advanced planting material, termasuk bahan tanaman melalui teknik cantuman dan kaedah pembiakan vegetatif yang memerlukan kepakaran teknikal serta kawalan kualiti yang tinggi.
“Penghasilan bahan tanaman berkualiti bukan sekadar menghasilkan anak pokok dalam jumlah yang banyak, tetapi memastikan bahan tersebut mempunyai ketulenan genetik, kualiti dan potensi pertumbuhan yang baik sebelum disalurkan kepada pengguna.
“Pensijilan SPBT memberi keyakinan kepada petani dan pengguna bahawa anak benih yang diperoleh daripada nurseri atau pengeluar yang disahkan adalah bahan tanaman yang telah melalui proses pengesahan dan memenuhi standard yang ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau, pengeluaran benih tanaman yang tulen dan berkualiti, khususnya tanaman buah-buahan seperti durian, turut menjadi salah satu fokus UPM dalam memperluas sumbangan universiti kepada sektor pertanian dan menjana sumber pendapatan melalui pengkomersialan bahan tanaman.
“UPM akan terus memperkukuh pengeluaran bahan tanaman berkualiti supaya lebih banyak benih yang disahkan dapat ditawarkan kepada petani. Pada masa yang sama, usaha ini membolehkan kepakaran dan hasil penyelidikan universiti diterjemahkan kepada manfaat secara langsung kepada industri dan masyarakat.
“Usaha ini juga selari dengan aspirasi UPM dalam Blueprint Keterjaminan Makanan untuk memperkukuh sumbangan universiti terhadap keterjaminan bekalan makanan negara melalui inovasi, penyelidikan serta penghasilan bahan tanaman yang berkualiti dan berdaya tahan,” katanya.



.jpg)


