| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa komuniti Kampung Tunku melalui ilmu pertanian, pendidikan dan pembangunan generasi muda

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

PUCHONG, 5 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan komuniti apabila memberi pendedahan ilmu pertanian, pendidikan dan kemahiran kepada 88 peserta dari Kampung Tunku, Petaling menerusi Program Penghakupayaan Santuni Madani @ Kg. Tunku, Petaling, hari ini.

 

Program anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) itu berlangsung di Ladang Puchong Bersepadu UPM dan sekitar kampus UPM dengan pengisian yang merangkumi pemindahan ilmu pertanian, pembangunan kemahiran, keusahawanan serta pendedahan pendidikan, khususnya kepada generasi muda.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata pendekatan UPM dalam pelaksanaan program komuniti bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi memastikan kepakaran dan teknologi universiti dapat diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai secara langsung oleh masyarakat.

 

“UPM percaya ilmu tidak seharusnya terhenti di dalam bilik kuliah atau makmal. Kepakaran yang dimiliki universiti perlu dibawa turun kepada komuniti supaya dapat difahami, dipelajari dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

 

“Melalui program seperti ini kita dapat memahami keperluan sebenar komuniti, khususnya dalam aspek pertanian, pendidikan dan pembangunan generasi muda, seterusnya menyediakan ruang kepada mereka untuk mengenali potensi yang ada dalam bidang-bidang tersebut,” katanya.

 

Nazir Masjid Kampung Tunku, Wan Huzaini Wan Hussin, berkata kerjasama tersebut memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengenali UPM dengan lebih dekat serta mendapatkan akses kepada ilmu dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti.

 

“Kerjasama dengan UPM ini memberi impak yang sangat bermakna kepada warga Kampung Tunku. Masyarakat bukan sahaja dapat mengenali UPM dengan lebih dekat, malah mendapat peluang mempelajari ilmu pertanian dan meneroka pelbagai aktiviti yang sebelum ini mungkin tidak pernah mereka alami.

 

“Hubungan yang terjalin ini juga membuka ruang kepada anak-anak dan masyarakat kampung untuk melihat universiti sebagai tempat mendapatkan ilmu dan membina masa depan,” katanya.

 

Selain itu, turut memperlihatkan kesinambungan hubungan strategik antara UPM dengan komuniti Kampung Tunku yang telah terjalin sejak 2024 menerusi kerjasama melibatkan Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku, Masjid Kampung Tunku dan masyarakat setempat.

 

Antara pengisian utama program ialah sesi pemindahan ilmu berkaitan teknik cantuman tanaman MARKOT.

 

Peserta turut dibawa melawat Ladang Puchong Bersepadu UPM bagi mendapatkan pendedahan terhadap aktiviti pertanian dan teknologi yang dilaksanakan universiti, selain menyertai Pertandingan Memancing Tilapia.

 

Bagi memperluas pengalaman pembelajaran, peserta turut mengikuti lawatan Edu-Park ke Muzium Warisan Melayu dan Muzium Anatomi Manusia UPM.

 

Dalam pada itu, seramai 30 kanak-kanak Kampung Tunku menyertai aktiviti Chef Cilik di L’APPRENTI UPM yang memberi peluang kepada mereka mengembangkan kreativiti, keyakinan diri serta kemahiran asas kulinari dalam suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan.

 

Penduduk Kampung Tunku, Nasrina Nasran, berkata program tersebut memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak dan membuka peluang untuk mereka mengenali bidang pertanian serta penternakan dengan lebih dekat.

 

“Ini merupakan pengalaman pertama saya menyertai program sebegini dan saya melihatnya sebagai satu platform yang sangat baik untuk anak-anak mempelajari perkara baharu.

 

“Mereka bukan sahaja dapat berseronok, tetapi pada masa yang sama dapat mengembangkan pengetahuan dan melihat sendiri bidang pertanian serta penternakan yang mungkin dapat mencetuskan minat mereka pada masa hadapan,” katanya.

 

Sementara itu, penduduk Kampung Tunku, Abdul Hakeem Mohd Nadzeri, berkata pendedahan awal kepada bidang pertanian penting bagi membantu generasi muda mengenali peluang yang terdapat dalam sektor tersebut.

 

“Program seperti ini memberikan pendedahan yang sangat baik kepada anak-anak dan mereka dapat melihat dan mengetahui bahawa pertanian mempunyai ilmu, teknologi dan peluang yang luas.

 

“Mungkin daripada pendedahan seperti ini akan ada dalam kalangan mereka yang berminat untuk meneroka bidang pertanian dengan lebih mendalam pada masa akan datang,” katanya.

 

 

 

 

XZKHGAL~