| Universiti Putra Malaysia

Program mobiliti SETAREX Yunnan perkasa jaringan antarabangsa pelajar UPM

 

SERDANG, 23 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh jaringan global mahasiswa melalui pelaksanaan program mobiliti antarabangsa SETAREX Yunnan Cultural and Recreational Exploration 2025 yang berlangsung di Yunnan, China, baru-baru ini.

 

Program yang dianjurkan oleh Kolej Sepuluh UPM itu melibatkan penyertaan 13 pelajar dan dua pegawai pengiring, sekali gus membuka ruang baharu dalam eksplorasi budaya, pendidikan dan rekreasi antarabangsa.

 

Eksplorasi delegasi SETAREX ke Yunnan turut diserikan dengan kunjungan hormat dan sesi interaksi bersama Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Muhamad Akmal Abdul Wahab.

 

Ketua Program, Nazmi Amir Zainol Akmar berkata, pendekatan mobiliti ini telah memperluas perspektif pelajar terhadap aktiviti rekreasi sebagai medium latihan holistik yang merangkumi pembangunan jasmani, mental dan spiritual.

 

“Kami memperkenalkan budaya Malaysia menerusi pelbagai persembahan seperti tarian tradisional, deklamasi sajak, pertunjukan busana pelbagai kaum, nyanyian, serta aktiviti mewarna batik bersama komuniti setempat,” katanya.

 

Tambah beliau, program ini bukan sahaja menguji kecergasan fizikal dan ketahanan mental pelajar, malah turut menyemai rasa hormat terhadap nilai kehidupan, masa dan budaya masyarakat lain.

 

“Kami berkesempatan untuk adakan sesi pertukaran budaya pensyarah dan pelajar yang telah membentuk pengalaman pembelajaran dua hala serta memperkaya apresiasi silang budaya secara langsung,” katanya.

 

Pegawai Pengiring, Amir Heiqal Mohd Rusli, berkata program ini sebagai platform pembelajaran kontekstual yang menyatukan elemen budaya, intelektual dan rekreasi dalam satu pakej yang menyeluruh.

 

“Yunnan dipilih sebagai destinasi program kerana keunikannya yang menawarkan pengalaman autentik serta pendedahan bernilai tinggi kepada peserta,” katanya.

 

Dalam pada itu, program ini merupakan inisiatif Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh dan direalisasikan menerusi kerjasama erat antara pelbagai entiti utama UPM termasuk Pengurusan Kolej Sepuluh, Pusat Antarabangsa (i-PUTRA), Kesatuan Mahasiswa UPM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Pusat Perhubungan Alumni serta UPM Holdings.

WYHEMAb~