| Universiti Putra Malaysia

UPM-RHB Perkasa Kebajikan Pelajar, Perkukuh Kolaborasi Strategik

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

 

SERDANG, 3 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima sumbangan zakat sebanyak RM10,000 dan RM76,645 menerusi program MySISWA daripada RHB Islamic Bank Berhad, bertujuan membantu pelajar asnaf.

 

Sumbangan itu disampaikan sempena kunjungan hormat delegasi bank ke atas Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah di Bangunan Canselori Putra.

 

Menurut Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, sumbangan tersebut menjadi permulaan kepada hubungan strategik yang lebih luas antara UPM dan sektor industri.

 

 

“UPM mengalu-alukan kerjasama yang menyokong kebajikan dan pembangunan pelajar. Perbincangan turut menyentuh potensi kolaborasi dalam bidang keusahawanan dan agropreneurship,” katanya.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Dato’ Adissadikin Ali berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat bank dalam menyokong agenda pendidikan negara.

 

“Kami mahu membantu pelajar agar tidak terbeban dengan kekangan kewangan. Pelaburan dalam pendidikan memberi pulangan jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.

 

Tambah beliau, UPM merupakan universiti pertama dipilih untuk pelaksanaan Program Be Your Own Boss (BYOB) pada tahun 2024 dengan dana RM200,000.

 

Tiga pelajar UPM telah memulakan perniagaan melalui program ini termasuk seorang pelajar yang berjaya meraih pendapatan hingga RM8,000 sebulan melalui jualan keropok lekor.

 

 

Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Haris Dahlan berkata, dana terdahulu turut dimanfaatkan bagi kebajikan dalaman universiti.

 

“Dana ini telah digunakan untuk pembinaan tandas OKU dan kemudahan surau di kuarters kakitangan UPM,” katanya.

 

RHB Islamic Bank turut memperkukuh hubungan strategik dengan UPM melalui pelbagai program termasuk Career Talk: Brand Yourself with RHB Team!, penglibatan dalam Pesta Konvokesyen 2024 serta pelantikan dua mahasiswa sebagai RHB Campus Ambassador.

 

RHB turut merancang menganjurkan program Sukan Rakyat di kampus dengan cadangan penggunaan Stadium UPM sebagai lokasi utama.

 

Turut hadir, Bursar UPM, Siti Amira Shukor, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Noraihan Noordin serta pegawai-pegawai kanan RHB Islamic Bank.

WYHEPAj~