| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa agenda kesihatan planet melalui PutraSihat 10,000 Langkah

 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 1 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menterjemahkan aspirasi UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint menerusi penganjuran Program PutraSihat 10,000 Langkah yang menggabungkan aktiviti berjalan kaki dan plogging sebagai pendekatan membudayakan gaya hidup sihat seiring pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan warga universiti.

 

 

Program yang menjadi acara penutup Bulan Sinergi Putra 2026 itu menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta menerusi pelbagai pengisian termasuk berjalan kaki, plogging dan pameran kesihatan. Pendekatan tersebut mencerminkan usaha UPM menghubungkan kesejahteraan manusia dengan kelestarian alam, selaras dengan prinsip kesihatan planet yang menekankan hubungan erat antara kesihatan individu, komuniti dan persekitaran.

 

 

Timbalan Pengarah (Pengembangan Atlet dan Staf), Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata program berkenaan bertujuan membudayakan amalan berjalan kaki sebagai aktiviti fizikal yang mudah disertai oleh semua lapisan warga universiti, di samping memperkenalkan plogging sebagai amalan yang menggalakkan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan kampus.

 

 

“Melalui plogging, peserta bukan sahaja mengamalkan gaya hidup aktif, malah turut menyumbang kepada pemeliharaan persekitaran dengan mengutip sampah sepanjang laluan. Pendekatan ini membentuk kesedaran bahawa penjagaan kesihatan dan kelestarian alam perlu bergerak seiring.

 

 

“UPM juga sedang merancang pembangunan sebuah aplikasi yang membolehkan warga universiti merekod dan memantau jumlah langkah harian sebagai galakan untuk membudayakan gaya hidup aktif secara berterusan,” katanya.

 

 

Program itu turut mendapat penyertaan komuniti, Yap Ken Shern, seorang individu orang kurang upaya (OKU) yang menghidap Prader-Willi Syndrome dan menjadikan aktiviti berjalan kaki sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan kecergasan serta mengamalkan gaya hidup sihat.

 

 

“Kekurangan diri bukan penghalang untuk saya terus menyertai aktiviti seperti ini. Saya sangat seronok kerana ia membantu saya kekal cergas,” katanya.

 

 

Beliau berkata walaupun tidak lagi dapat menyertai beberapa aktiviti sukan berikutan kecederaan kaki, berjalan kaki kekal menjadi pilihan sebagai aktiviti fizikal yang sesuai dan berharap lebih banyak program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.

 

 

Sementara itu, kakitangan UPM, Afiq Saparin berkata program tersebut bukan sahaja menggalakkan warga universiti kembali aktif melakukan aktiviti fizikal, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga daripada pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ).

 

 

“Cabaran 10,000 langkah ini memberi motivasi kepada saya untuk meningkatkan tahap kecergasan, di samping membuka ruang berinteraksi dan mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan daripada pelbagai PTJ,” katanya.

 

 

Penganjuran Program PutraSihat 10,000 Langkah membuktikan komitmen UPM dalam membudayakan amalan hidup sihat yang berpaksikan kelestarian, sejajar dengan aspirasi UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan manusia, pemeliharaan alam sekitar dan penglibatan aktif komuniti sebagai asas kepada pembangunan kampus yang mampan.

XZJeGA~