| Universiti Putra Malaysia

UPM pacu kerjasama global dalam kriptologi dan keselamatan siber pasca-kuantum

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 12 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) komited memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam penyelidikan dan inovasi keselamatan digital apabila menerajui usaha pembangunan kriptografi pasca-kuantum (PQC) sebagai bidang strategik yang menjadi teras kepada perlindungan data nasional di era komputer kuantum.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata komitmen universiti dalam bidang tersebut diterjemahkan melalui penganjuran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Kriptografi Pasca-Kuantum (ICE-PQC 2025) yang berlangsung di UPM, hari ini.

 

Katanya, persidangan anjuran Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dengan kerjasama UPM ini menjadi platform global untuk menghimpunkan pakar kriptografi, penyelidik, pembuat dasar dan pemain industri bagi memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia menghadapi ancaman siber masa depan.

 

“Dalam era Revolusi Industri 4.0 dan kebangkitan komputer kuantum, PQC bukan lagi pilihan tetapi keperluan strategik untuk melindungi data nasional dan infrastruktur digital negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ICE-PQC 2025.

 

Beliau berkata, UPM sebagai universiti penyelidikan terkemuka dalam bidang sains, teknologi dan inovasi sentiasa komited menyokong pelaksanaan Dasar Kriptografi Negara (DKN), Pelan Migrasi PQC Kebangsaan 2025–2030, dan Program POC PQC Sandbox 2025, selaras dengan aspirasi negara memperkasa keselamatan digital.

 

“Keyakinan kerajaan terhadap kemampuan universiti dan pakar akademik negara dibuktikan melalui pelbagai inisiatif dan peruntukan dana bagi projek ini. Usaha kolaboratif yang menghimpunkan agensi keselamatan, industri dan penyelidik menunjukkan Malaysia kini mampu membangunkan teknologi keselamatan siber berimpak tinggi hasil kepakaran tempatan,” katanya.

 

Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan menegaskan bahawa persidangan ini menjadi penanda aras baharu dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dan memantapkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penyelidikan kriptografi dan keselamatan kuantum.

 

“UPM melalui jaringan penyelidikan bersama PTPKM dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kini menerajui penubuhan pusat kecemerlangan nasional dalam bidang kriptografi tahan-kuantum. Ia menyepadukan penyelidikan, pembangunan dasar dan kerjasama industri untuk memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi cabaran pasca-kuantum,” katanya.

 

Majlis pelancaran rasmi ICE-PQC 2025 telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) antara agensi keselamatan siber negara dengan rakan strategik industri.

 

Kerjasama itu dijangka memperkukuh pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan, termasuk memperluas perkongsian kepakaran teknikal, memperkasa penyelidikan bersama dan memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan global dalam ekosistem digital pasca-kuantum.

 

“Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk menjadi hab penyelidikan dan inovasi keselamatan siber di rantau ini. ICE-PQC 2025 membuktikan keupayaan negara menggembleng kepakaran akademik, industri dan kerajaan bagi memastikan keselamatan digital yang mampan dan berdaya tahan,” ujar beliau.

WYLMRAr~