| Universiti Putra Malaysia

UPM, MHSD-BARMM jalin kerjasama pacu pembangunan perumahan lestari Bangsamoro

Oleh: Husnina Zahra Hadri

 

 

SERDANG, 13 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima kunjungan hormat delegasi Kementerian Perumahan dan Pembangunan, Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (MHSD-BARMM), Filipina dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata UPM komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama MHSD-BARMM dalam pembangunan penyelidikan dan inovasi yang memberi impak kepada komuniti.

 

“Pertukaran surat niat (LoI) ini menjadi langkah awal ke arah memformalkan pembangunan perkongsian penyelidikan teknikal (TRP), dan UPM terus menyokong masyarakat Bangsamoro melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya dalam pembangunan perumahan lestari.

 

“Kerjasama ini memfokuskan perumahan lestari berteraskan sosio-budaya Bangsamoro, serta melibatkan pemindahan ilmu, latihan dan sistem pembinaan yang lebih efisien,” katanya.

 

Selain itu, kerjasama tersebut membuka peluang pemindahan teknologi, kepakaran serta pembangunan model perumahan yang boleh dijadikan rujukan di peringkat serantau.

 

 

Ketua Pengarah Bangsamoro, Esmael Ebrahim berkata, UPM melalui Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina (FRSB) akan mengetuai pasukan pakar dalam merangka penyelesaian perumahan moden yang holistik.

 

“Pendekatan ini bukan sahaja memberi fokus kepada aspek fizikal kediaman, malah turut mengambil kira pemulihan sosial termasuk menangani trauma dalam kalangan komuniti terjejas akibat konflik dan bencana,” katanya.

 

Turut hadir, Ketua Perancangan dan Reka Bentuk, Zainodin Buisan, Ketua Bahagian Undang-undang, Nasihah Mamarungcas, Ketua Bahagian Pengaturcaraan, Norudin Lali serta Pegawai Tadbir, Amera Aisah Macalangcom.

WZENRA~