Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain
PUCHONG, 24 Sept – Program Eksplorasi Alam berjaya memperkukuh kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) dengan City University Malaysia dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan pelajar pascasiswazah.
Ketua Jabatan Industri Kayu dan Gentian, FHAS, UPM, Dr. Norzanalia Saadun berkata, program tersebut selari dengan aspirasi universiti untuk mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
“Aktiviti sebegini memberi peluang kepada pelajar mendalami aspek pemeliharaan hutan, sekali gus mendidik mereka menghargai kepelbagaian sumber semula jadi serta mengukuhkan jaringan antara institusi akademik awam dan swasta,” katanya.
Timbalan Dekan City Graduate School, City University Malaysia, Dr. Nor Fairuz Syazana Nur Fauzi, pula berkata, kerjasama ini memberi pendedahan yang melangkaui pembelajaran dalam bilik kuliah.
“Pelajar memerlukan pengalaman luar biasa untuk benar-benar memahami kepentingan pemeliharaan alam. Ramai pelajar belum pernah didedahkan secara praktikal kepada usaha pemeliharaan alam sekitar dan program ini membuka ruang tersebut,” katanya.
Bagi pelajar Master of Business Administration (MBA), City University Malaysia, Siddiqui Abdul Rafiu, pengalaman itu memberi inspirasi kepadanya serta meningkatkan kepekaan terhadap kepentingan pemuliharaan hutan.
“Program ini membuka mata saya tentang peri pentingnya hutan dipelihara. Saya kagum dengan UPM yang memiliki Hutan SISFEC UPM yang melindungi pelbagai spesies pokok hutan,” katanya.
Rakannya, Isroilova Zulaikho, turut menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman yang sangat berguna dan relevan dengan pengajiannya dalam bidang Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Program ini memberi kesan positif serta pengajaran yang bermanfaat, khususnya berkaitan dengan subjek CSR yang sedang kami pelajari,” katanya.