Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Mozaid Idris

SERDANG, 20 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan ekosistem pembelajaran digital yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI), Realiti Maya (VR) dan Realiti Terimbuh (AR) menerusi Makmal Bionic Immersive Technology di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) bagi memperkukuh latihan klinikal serta melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi dunia perubatan digital.
Kemudahan itu membolehkan pelajar menjalani latihan prosedur klinikal dalam persekitaran simulasi menggunakan teknologi VR sebelum mengendalikan situasi sebenar di hospital, sekali gus meningkatkan kemahiran praktikal dalam persekitaran yang selamat.
Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, pelancaran makmal berkenaan merupakan langkah penting universiti dalam memperkukuh penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan simulasi itu bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar, malah membantu melahirkan graduan yang lebih kompeten dan memenuhi keperluan industri kesihatan.
"Kecemerlangan sesebuah universiti hari ini bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi, malah turut bergantung kepada keupayaannya mengadaptasi teknologi baharu bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, interaktif dan berimpak tinggi kepada pelajar.
"Melalui ekosistem AI ini, pelajar dapat menjalani latihan prosedur klinikal dalam persekitaran simulasi yang selamat, sekali gus menyokong pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan meningkatkan kebolehpasaran graduan," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Makmal Bionic Immersive Technology di FPSK UPM.
Dalam pada itu, beliau menyatakan makmal berkenaan turut mengintegrasikan empat teknologi digital berasaskan AI bagi menyokong pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, diperibadikan dan selari dengan perkembangan pendidikan tinggi.
“Antaranya ialah AI-Powered Learning Management System (LMS) yang menggunakan AI untuk memperibadikan penyampaian pembelajaran, memantau perkembangan pelajar, mengenal pasti pelajar yang memerlukan intervensi awal melalui analitik serta mengautomasikan proses pemarkahan dan pengurusan kursus.
“Kedua, makmal ini turut dilengkapi AI Tutor with Avatar, iaitu tutor maya yang boleh diakses 24 jam sehari bagi membantu pelajar memahami kandungan pembelajaran, menjawab soalan secara nyata dan menyesuaikan penerangan mengikut tahap pembelajaran individu.
“Bagi pembelajaran secara imersif, teknologi Virtual Reality (VR) dan Augmented Reality (AR) membolehkan pelajar meneroka model anatomi, prosedur klinikal dan pelbagai senario perubatan dalam persekitaran tiga dimensi yang realistik, sekali gus membantu meningkatkan kefahaman terhadap konsep yang kompleks melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal,’’ ujarnya.
Tambahnya, makmal ini turut menyediakan AI Private GPT, iaitu platform AI persendirian yang dibangunkan dalam persekitaran tertutup bagi membolehkan warga universiti memanfaatkan teknologi AI tanpa menjejaskan keselamatan dan kerahsiaan data institusi.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof. Dr. Normala Ibrahim berkata, penubuhan Makmal Bionic Immersive Technology sejajar dengan Kerangka Strategik Hala Tuju UPM (True North) yang memberi penekanan kepada pengalaman pembelajaran terbaik, pemerkasaan industri serta penyelidikan yang relevan dan berimpak tinggi.
Beliau berkata kerjasama dengan G Plus Tech Sdn. Bhd. bukan sekadar menyediakan kemudahan pembelajaran moden, malah membuka peluang kepada penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, pembangunan inovasi teknologi dan penganjuran bengkel simulasi perubatan yang memberi manfaat kepada sektor kesihatan negara.
“Justeru, pendekatan pembelajaran berasaskan teknologi seperti ini lebih dekat dengan cara mereka belajar dan mampu menjadikan proses pendidikan lebih interaktif serta berkesan,” katanya.



.jpg)


