Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
PUTRAJAYA, 22 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyerahkan Resolusi Strategik Halal bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan global sempena Malaysia International Halal Research & Education Conference 2025 (MIHREC 2025), di sini.
Penyerahan itu disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah kepada Penasihat Utama Penyelidikan Dasar Halal Kebangsaan, Datuk Fadilah Baharin, dan Setiausaha Agung Institut Piawaian dan Metrologi bagi Negara-Negara Islam (SMIIC), Ihsan Övüt.
Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan menegaskan komitmen UPM dalam memacu penyelidikan dan inovasi halal yang memberi impak besar terhadap ekonomi, keterjaminan makanan dan kesejahteraan sejagat.
“Penyerahan resolusi ini membuktikan idea dan komitmen bersama mampu diterjemahkan menjadi panduan tindakan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Dengan sasaran eksport halal mencecah RM100 bilion menjelang 2035 seperti yang termaktub dalam RMK13, resolusi ini diyakini menjadi pemangkin utama untuk menjadikan Malaysia hab halal global berteraskan integriti, inovasi teknologi dan kesejahteraan masyarakat.
Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MIHREC 2025, Prof. Dr. Awis Qurni Sazili, berkata resolusi ini seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Halal Industry Master Plan 2030 (HIMP2030) dan New Industrial Master Plan 2030 (NIMP2030).
“Resolusi ini bukan sahaja rangkuman pandangan, tetapi juga cadangan inisiatif berasaskan data untuk melonjakkan Malaysia sebagai pusat rujukan halal global yang disegani,” katanya.
Resolusi tersebut turut mengenal pasti enam domain kritikal termasuk tadbir urus, akses pasaran global, jurang teknologi dan inovasi, serta pembangunan bakat profesional halal. Antara cadangan utama ialah penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia, penggubalan perundangan khusus bagi mengawal selia industri halal, transformasi digital pensijilan dan kebolehjejakan rantaian bekalan, selain pemerkasaan Badan Profesional Halal.
MIHREC 2025 yang dianjurkan oleh IPPH-UPM menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada penyelidik, ahli akademik, pemain industri dan penggubal dasar dari dalam dan luar negara.
Persidangan ini turut diadakan bersempena ulang tahun ke-20 penubuhan IPPH serta merupakan sebahagian daripada Global Halal Summit (GHaS) 2025 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September lalu di MITEC.