
Oleh: Husnina Zahra Hadri
SERDANG, 6 Julai - Kepelbagaian bahasa, budaya dan tradisi diraikan dalam suasana harmoni apabila lebih 10 negara mengambil bahagian dalam Unity Fest: International Day, sekali gus menjadikan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai medan memperkukuh persefahaman serta persahabatan merentasi sempadan.
Karnival anjuran Majlis Perwakilan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), UPM itu menghimpunkan mahasiswa tempatan dan antarabangsa menerusi pelbagai pengisian seperti pameran budaya, permainan tradisional, persembahan kesenian dan pertandingan bakat yang mencerminkan semangat perpaduan dalam komuniti kampus.
Pengarah program, Muhammad Izzul Ikhwan Junkanaidi berkata, Unity Fest dianjurkan sebagai platform untuk menggalakkan interaksi antara mahasiswa daripada pelbagai negara, sekali gus memupuk sikap saling menghormati, memahami dan menghargai perbezaan budaya.
“Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengenali budaya antara satu sama lain secara lebih dekat melalui pelbagai aktiviti interaktif.
“Kami berharap pengalaman ini dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai pemikiran global serta mampu berinteraksi dalam masyarakat yang pelbagai budaya,” katanya.
Program yang berlangsung di Anjung SBE dan Dewan Philip Kotler itu turut mendapat sambutan menggalakkan apabila mahasiswa antarabangsa memperkenalkan keunikan budaya, pakaian tradisional, makanan dan warisan negara masing-masing kepada warga universiti.

Jawatankuasa Program, Nurin Irdina Abdul Rahim berkata, penganjuran Unity Fest berjaya mewujudkan suasana mesra yang menggalakkan peserta berinteraksi tanpa mengira latar belakang budaya dan negara asal.
“Program ini membuka peluang kepada kami mengenali budaya pelbagai negara secara lebih dekat. Pengalaman berinteraksi secara langsung menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna berbanding hanya membaca atau menonton tentang budaya tersebut,” katanya.
Bagi wakil peserta dari Uzbekistan, Avazov Alisher Aktam Ugli, Unity Fest menjadi pengalaman yang sukar dilupakan kerana membolehkannya berkongsi budaya negaranya sambil menjalinkan persahabatan baharu bersama mahasiswa dari pelbagai pelosok dunia.

“Saya berasa gembira kerana dapat memperkenalkan budaya Uzbekistan kepada rakan-rakan di UPM. Pada masa yang sama, saya turut mengenali budaya negara lain dan memperoleh ramai kenalan baharu sepanjang program ini,” katanya.
Program itu turut diserikan dengan penyertaan beberapa kelab mahasiswa termasuk Badansa Dance Troupe dan Persatuan Hindu UPM menerusi persembahan kebudayaan, selain pertandingan Talent Unveil: Beyond Borders anjuran Bachelor Business Administration Club (BBAC) yang mengetengahkan bakat serta kreativiti mahasiswa tanpa mengira bangsa, budaya dan negara asal.





.jpeg)
.jpeg)