
SERDANG, 10 Ogos — Fakulti Kejuruteraan (FK), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keramat menganjurkan Program Pemindahan Ilmu STEM 2026 bertemakan Innovation-Driven STEM for Sustainability: Inspiring Malaysia’s Next Young Inventor bagi memperkasa generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Dekan FK UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir berkata, fokus utama program ini untuk memberi pendedahan kepada murid sekolah rendah dan menengah terhadap bidang kejuruteraan serta menggalakkan mereka membangunkan penyelesaian inovatif berasaskan STEM bagi menangani cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang diterapkan turut membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan teori secara praktikal dalam menghasilkan sesuatu penyelesaian.
“Program berkenaan turut menjadi platform untuk membentuk kemahiran abad ke-21 dalam kalangan murid, termasuk pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah, komunikasi dan kerja berpasukan.
“Pengalaman menghasilkan prototaip juga memberi peluang kepada murid menerima maklum balas, memperbaiki idea serta membina keyakinan diri melalui pengalaman pembelajaran sebenar, ” katanya.
Program ini telah dilaksanakan selama enam bulan melibatkan 80 murid daripada 10 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah di daerah Keramat, dengan bimbingan 20 mentor daripada lapan jabatan di Fakulti Kejuruteraan, UPM serta guru-guru yang terlibat sebagai pembimbing.
Projek tersebut turut menerapkan elemen Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), matlamat pembangunan lestari (SDG) dan kesihatan planet.
Menurut Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah, PPD Keramat, Azmie Ya’acob, program berkenaan turut menjadi platform untuk membentuk kemahiran abad ke-21 dalam kalangan murid, termasuk pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah, komunikasi dan kerja berpasukan.
“Pengalaman menghasilkan prototaip juga memberi peluang kepada murid menerima maklum balas, memperbaiki idea serta membina keyakinan diri melalui pengalaman pembelajaran sebenar.
“Inisiatif itu membuktikan kepentingan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang menggalakkan kreativiti, inovasi dan penyelesaian masalah.
“Pelaksanaan program ini juga selari dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia (DPD KPM) yang menekankan penguasaan kemahiran digital, penerapan inovasi serta integrasi teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berkata, murid bukan sahaja menggunakan teknologi sebagai alat pembelajaran, malah mengaplikasikan kemahiran digital, pemikiran reka bentuk (design thinking) dan inovasi kejuruteraan bagi menghasilkan projek yang berpotensi memberi manfaat kepada komuniti.



.jpg)


