Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
SERDANG, 20 Mei– Kepakaran penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang akuakultur terus mendapat pengiktirafan apabila Pensyarah Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Profesor Dr. Ina Salwany Md Yasin menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor (AFNC) Kategori Perunding pada Majlis Gemilang Putra 2026 semalam.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Biosains UPM diiktiraf menerusi kejayaan menerajui projek perundingan industri berimpak tinggi bersama PETRONAS Research Sdn. Bhd. berkaitan pembangunan makanan fungsi untuk sektor akuakultur dan ternakan.
Projek ‘Perkhidmatan Ujian Makmal dan Analisis Bagi Makanan Haiwan yang Diformulasikan Dengan Kompleks Amino Asid-Polisakarida Diperkaya Daripada Mikroalga Tanpa Lemak’ bernilai RM882,373.95 itu disiapkan dalam tempoh enam bulan dengan tambahan tiga bulan bagi melengkapkan laporan akhir projek.
Profesor Dr. Ina Salwany berkata, projek konsultasi tersebut merupakan pendekatan translasi penyelidikan kepada aplikasi industri sebenar yang memanfaatkan kepakaran universiti bagi memenuhi keperluan industri.
“Sebagai pensyarah, tanggungjawab kita bukan sahaja dalam pengajaran dan penyelidikan malah turut melibatkan perundingan bersama industri. Melalui projek seperti ini, kita lebih memahami keperluan sebenar industri dan dapat menterjemahkan ilmu serta inovasi kepada penyelesaian praktikal,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan projek tersebut tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama kukuh pelbagai pakar UPM yang digabungkan dalam satu pasukan multidisiplin.
“Saya tidak mampu melaksanakan projek ini secara bersendirian. Kunci utama kejayaan projek konsultasi ini ialah semangat kerja berpasukan dalam kalangan pakar-pakar UPM bagi memastikan kehendak pelanggan dapat dipenuhi,” katanya.
Projek tersebut turut mendapat sokongan UPM Holdings Sdn. Bhd. khususnya dalam aspek pengurusan kewangan dan penyelarasan projek.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Ina Salwany berpandangan pengalaman bersama industri membantu pensyarah menjadi lebih kompeten serta memahami budaya kerja profesional yang boleh diintegrasikan dalam pengajaran dan penyelidikan di universiti.
“Ini dapat membuktikan keupayaan pensyarah UPM dalam memperkukuh jaringan universiti-industri melalui penyelidikan translasi yang memberi manfaat kepada pembangunan industri makanan dan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Sementara itu, beliau turut terlibat sebagai ketua konsultan dalam beberapa projek industri bersama Bio-Angels Vacs Sdn. Bhd dan World New Energy Centre Sdn. Bhd. dengan jumlah pembiayaan melebihi RM1.5 juta.
Antara projek utama beliau ialah kajian berkaitan Defatted Algae Cake (DCA), iaitu bahan sampingan pemprosesan alga yang berpotensi dibangunkan sebagai sumber makanan alternatif dan makanan fungsi untuk akuakultur serta ternakan.
Kajian tersebut memberi tumpuan kepada penilaian komposisi nutrien, keselamatan, kestabilan dan keberkesanan DCA dalam menyokong pertumbuhan, kesihatan usus, imuniti serta kelestarian pengeluaran makanan haiwan.





.jpg)
