| Universiti Putra Malaysia

Perkhidmatan pendaftaran UPM dipuji, ibu bapa hargai kelancaran proses

SERDANG, 5 Oktober – Proses pendaftaran pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima pujian daripada ibu bapa yang hadir, apabila mereka menyifatkannya sebagai lebih sistematik, teratur dan mesra pelanggan.

 

 

Tugiah Rosli, 57, dari Jelebu, Negeri Sembilan meluahkan rasa syukur apabila anak bongsunya diterima melanjutkan pengajian di UPM. Beliau gembira dengan perjalanan pendaftaran yang lancar serta bantuan daripada fasilitator pelajar.

 

“Pendaftaran sangat memudahkan dan kami dibantu dengan baik. Sampai pagi pun tidak lama menunggu, semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah, syukur anak saya Nur Danea Natasha Rosli dapat menyambung pengajian di UPM,” katanya.

 

Bagi Choo Wing Khan, 58, dari Cheras, Kuala Lumpur, berkata beliau melihat peningkatan ketara dalam proses pendaftaran kali ini berbanding pengalaman sebelum ini ketika dua orang anak lelakinya pernah menuntut di UPM.

 

 

“Saya nampak perubahan yang sangat baik. Pendaftaran lebih teratur, sistematik dan cepat. Harap UPM terus kekalkan cara ini,” katanya.

 

Selain itu, Thevidewi Raman, 45, dari Skudai, Johor, turut berkongsi pandangan sama.

 

Menurutnya, proses kali ini jauh lebih tersusun berbanding sebelum ini ketika beliau menemani kakaknya menghantar anak ke UPM.

 

 

“Saya lihat universiti ini berjaya membuat penambahbaikan yang memudahkan ibu bapa dan pelajar. Semuanya nampak lebih terurus,” katanya.

 

Dalam pada itu, kelancaran proses pendaftaran ini mencerminkan usaha UPM untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta memberi pengalaman mesra pelanggan kepada pelajar dan ibu bapa, seiring dengan imej universiti sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa.

WYKFWAo~