| Universiti Putra Malaysia

UPM PACU JARINGAN EKOLOGI MANUSIA ASEAN MENERUSI INISIATIF PENUBUHAN AHEC


BANGI, 11 Ogos
– Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh jaringan kerjasama ekologi manusia di peringkat ASEAN menerusi inisiatif penubuhan ASEAN Human Ecology Consortium (AHEC) sebagai platform serantau untuk memperkasa penyelidikan, pembangunan bakat dan perkongsian ilmu berkaitan kesejahteraan manusia.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin, berkata penubuhan AHEC mencerminkan komitmen UPM untuk menerajui jaringan ekologi manusia di rantau ASEAN menerusi kerjasama yang memberi impak kepada masyarakat.

“Kerjasama serantau tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah mesyuarat atau memorandum yang ditandatangani semata-mata, tetapi berdasarkan ilmu yang dihasilkan, insan yang dibangunkan, komuniti yang menerima manfaat dan dasar yang berjaya ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Human Ecology International Conference II (HEIC-II) 2026 yang berlangsung di Hotel Tenera semalam.

“AHEC dicadangkan sebagai platform yang menghubungkan institusi berkaitan ekologi manusia di negara ASEAN bagi memperluas kerjasama dalam penyelidikan bersama, mobiliti pelajar dan ahli akademik, penerbitan, dialog dasar, kerjasama akademik serta penglibatan komuniti.

“Dasar yang baik bermula dengan rakyat dan perlu kembali kepada rakyat,” katanya.|

Inisiatif penubuhan AHEC adalah hasil Persidangan HEIC II 2026 yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pengamal, pembuat dasar, pemimpin institusi, pelajar dan wakil komuniti dari Malaysia, Indonesia, Filipina serta beberapa negara lain bagi membincangkan cabaran semasa yang mempengaruhi kesejahteraan manusia.




Persidangan bertemakan “Sustaining Human Well-being” itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dengan University of the Philippines Los Baños (UPLB), sekali gus membuka ruang kepada peluasan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.

Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, yang juga merupakan alumni Fakulti Ekologi Manusia UPM.

Amirudin berkata kesejahteraan rakyat perlu menjadi ukuran utama pembangunan dengan menilai sejauh mana pembangunan dapat meningkatkan kehidupan individu, keluarga dan komuniti, bukan semata-mata berdasarkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan pembangunan infrastruktur.

“Dasar kerajaan juga perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat secara menyeluruh, termasuk aspek kesihatan, pendidikan, pekerjaan, perumahan, pengangkutan dan kos sara hidup yang saling berkait dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata kepentingan pendekatan menyeluruh dalam melihat hubungan antara pembangunan manusia, keluarga, komuniti, institusi, dasar awam, teknologi dan alam sekitar, khususnya dalam menghadapi perubahan sosial, ekonomi dan teknologi yang semakin pantas.

Penubuhan AHEC dijangka memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan ekologi manusia di rantau ASEAN, di samping membuka lebih banyak ruang kerjasama rentas negara dalam usaha menyokong kesejahteraan.

 

XZJVOAS~