| Universiti Putra Malaysia

Kembar cemerlang SPM pilih UPM kejar impian bersama

 

 

 

Oleh: Aimi Mohamad Farid


Foto oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

 

SERDANG, 25 Jun – Hari pendaftaran pelajar baharu Program Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) sesi akademik 2026/2027 menjadi detik istimewa buat pasangan kembar, Hariz Hafiz Khairul dan Hariz Hakim Khairul, apabila mereka bersama-sama melangkah ke kampus impian sebagai mahasiswa UPM.

 

 

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat itu menjadikan UPM sebagai pilihan pertama kerana reputasinya sebagai antara institusi terbaik dalam bidang veterinar di negara ini.

 

 

Bagi Hariz Hakim, minat mendalam terhadap bidang veterinar mendorong beliau memilih UPM kerana reputasinya sebagai antara institusi terbaik negara dalam bidang tersebut.

 

 

“Saya bercita-cita menjadi doktor veterinar dan apabila mengetahui UPM merupakan antara universiti terbaik dalam bidang ini, saya terus meletakkannya sebagai pilihan utama,” katanya.

 

 

Sementara itu, Hariz Hafiz berkata beliau berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi pada masa hadapan. Beliau yakin program asasi di UPM akan menyediakan asas akademik yang kukuh untuk mencapai cita-citanya.

 

 

Walaupun sering dikatakan pasangan kembar cenderung memilih laluan berbeza, kedua-duanya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian di universiti yang sama sebagai sumber sokongan antara satu sama lain dalam mengejar kecemerlangan akademik.

 

 

Mereka turut menyasarkan untuk memperoleh keputusan cemerlang sepanjang mengikuti Program Asasi Sains Pertanian UPM serta meraih Anugerah Dekan pada setiap semester.

 

 

“Kami juga teruja memulakan kehidupan sebagai mahasiswa, mengenali rakan-rakan baharu dan belajar hidup lebih berdikari jauh daripada keluarga,” kata mereka.

 

 

Bapa mereka, Khairul Khalid yang juga alumni UPM, berkata kejayaan kedua-dua anak bongsunya bukanlah hasil belajar tanpa henti, sebaliknya lahir daripada disiplin, konsistensi dan pengurusan masa yang baik.

 

 

“Mereka juga bermain permainan video dan berhibur seperti remaja lain tetapi tahu mengurus masa dengan baik. Saya sentiasa berpesan supaya mereka berusaha memperoleh keputusan cemerlang agar mempunyai lebih banyak pilihan dalam menentukan masa depan,” katanya.

 

 

Beliau berkata sebagai alumni UPM, beliau berasa bangga apabila kedua-dua anaknya memilih universiti itu untuk menyambung pengajian namun menegaskan keputusan tersebut dibuat berdasarkan minat dan cita-cita mereka sendiri.

 

 

“Saya berharap mereka terus belajar dengan rendah hati, berusaha bersungguh-sungguh dan memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk masa depan,” katanya.

WZHNAA~