| Universiti Putra Malaysia

KC juara keseluruhan SUKOL 2023

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar

SERDANG, 21 Jun - Kolej Canselor (KC) Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Kolej (SUKOL) 2022/2023 malah turut merangkul johan keseluruhan SUKOL bagi kategori lelaki.

Sekretariat sukan Majlis Perwakilan KC, pelajar Bacelor Kimia Petroleum, Fakulti Sains, Ahmad Musthofa Mohd Haniff berkata kejuaraan KC menggondol juara keseluruhan setelah berjaya memenangi sembilan acara sukan yang disertai oleh kolejnya.

"Kami berjaya memenangi sembilan pertandingan sukan iaitu bola keranjang lelaki, bola jaring, tenpin bowling lelaki, petanque wanita, bola tampar lelaki serta wanita, memanah lelaki dan acara lari berganti bagi kedua-dua kategori.

"Pada mulanya kami memang ketinggalan dalam mengumpulkan mata kejohanan namun saya sentiasa menasihati peserta KC bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai seperti hari ini," katanya yang turut meluahkan rasa gembira.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup SUKOL UPM sesi 2022/2023 di Stadium UPM di sini, malam tadi.

Piala pusingan juara keseluruhan telah disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Pengarah Akademi Sukan UPM, Prof. Madya Dr. Tajularipin Sulaiman.

Sementara itu, anugerah penganjur SUKOL terbaik diraih oleh Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) manakala Johan keseluruhan SUKOL kategori wanita disandang oleh Kolej Tun Dr Ismail (KTDI).

Selain itu, pasukan bola sepak KTDI A turut membenamkan Kolej Pendeta Za'Ba (KPZ) A 4-2 melalui sepakan penalti pada aksi terakhir majlis penutupan SUKOL UPM di sini, malam tadi. -UPM

SXFUVAK~