
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain
SERDANG, 25 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus menyerlahkan peranan universiti dalam menyemarakkan syiar Islam dan membangunkan masyarakat berteraskan ilmu, adab serta nilai murni.
Penganjuran berskala nasional itu memperlihatkan sinergi strategik UPM dan JAKIM dalam menggembleng kepakaran, kemudahan serta penglibatan komuniti kampus bagi menjayakan program berimpak tinggi.
Kerjasama berkenaan turut membuka ruang untuk memperluas jaringan UPM bersama agensi kerajaan, alumni, komuniti dan rakan industri menerusi inisiatif pendidikan, pembangunan insan serta tanggungjawab sosial yang berteraskan nilai Islam.
Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata pemilihan UPM sebagai tuan rumah merupakan satu penghormatan besar kepada universiti, selain memberi peluang kepada warga kampus menghayati sirah, akhlak dan kepimpinan Rasulullah SAW dalam konteks kehidupan serta pembangunan masyarakat.
“Penganjuran ini bukan sekadar acara rasmi, tetapi menjadi wadah untuk menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta menerapkan nilai integriti, kasih sayang, kepimpinan dan sikap saling menghormati dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.

“UPM amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan JAKIM dalam menjayakan sambutan pada peringkat kebangsaan ini. Kerjasama strategik tersebut membuktikan bahawa universiti bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan dan penyelidikan, malah menjadi rakan penting kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang berilmu, beradab dan sejahtera,” katanya.
Bagi memastikan keseluruhan persiapan dan pelaksanaan sambutan berjalan lancar, Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, Husalshah Rizal Hussian bersama staf dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras dan pengelola utama sambutan di peringkat universiti.
Penglibatan aktif warga UPM turut diterjemahkan melalui penyertaan dalam perarakan sempena sambutan berkenaan. Seramai 30 anggota kontinjen UPM yang mewakili persatuan akademik, Persatuan Alumni UPM, Pejabat Pendaftar, Persatuan Pentadbir UPM, Persatuan KEPERTAMA dan Pusat Islam mengambil bahagian dalam perarakan tersebut.
Pengarah Pusat Islam UPM, Zuhaimi Abdul Rahim, berkata persiapan kontinjen telah dilaksanakan sejak sebulan lalu, termasuk latihan secara berkala bagi memastikan kelancaran pergerakan dan penyertaan wakil universiti.

“Kesemua anggota kontinjen tampil mengenakan pakaian berwarna putih yang melambangkan kebersihan dan kesucian, selaras dengan semangat Sambutan Maulidur Rasul SAW,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga UPM yang memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan penyertaan universiti pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M.



.jpg)


