| Universiti Putra Malaysia

Graduan Doktor Perubatan jadi ‘wira’ pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 1 Disember - Detik bersejarah Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 Sidang 2 bertukar menjadi momen yang luar biasa buat graduan Program Doktor Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Muhammad Husni Abu Bakar, apabila tidak menjangkakan bertemu “pesakit pertama” sejurus melangkah keluar dari dewan konvokesyen, semalam. 

 

Muhammad Husni, 25, dari Kampar, Perak, menjadi tumpuan apabila bertindak pantas membantu menyelamatkan seorang wanita warga emas yang rebah secara tiba-tiba sebaik sahaja beliau keluar dari Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM untuk bergambar bersama keluarga.

 

Beliau berkata, kejadian berlaku berhampiran dewan tersebut apabila sebuah keluarga India meminta bantuan segera selepas nenek mereka berusia sekitar 80 tahun rebah ketika berada di kawasan tersebut.

 

“Saya berada berhampiran lokasi kejadian dan terus membantu dan perkara pertama yang saya lakukan ialah memastikan keadaan asas kecemasan yang dipelajari iaitu airway, breathing dan circulation (ABC) dan mendapati dapati pernafasannya masih ada walaupun lemah,” katanya.

 

Beliau kemudian mengalihkan warga emas itu ke posisi bersandar serta mohon kepada orang awam untuk mengosongkan kawasan persekitaran untuk pengudaraan lebih baik dan meminta kipas mudah alih kerana bimbang mangsa mengalami strok haba serta kakinya turut diluruskan bagi melancarkan peredaran darah.

 

“Saya tepuk dan bercakap perlahan dengan nenek tersebut sambil menyemak nadinya dan juga bertanya kepada ahli keluarga dan telah dimaklumkan mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung,” katanya. 

 

Muhammad Husni turut meminta orang awam menghubungi ambulans namun keluarga mangsa pantas membawa kereta ke lokasi dan segera bergegas ke hospital berdekatan selepas menerima nasihat lanjut daripada beliau.

 

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak panik ketika berdepan kecemasan melibatkan warga emas. Tindakan asas seperti memeriksa pernafasan, nadi dan tahap respons mangsa boleh membantu menyelamatkan nyawa sementara menunggu bantuan pakar.

 

“Jika tiada kepakaran, cari individu sekeliling yang boleh membantu dan yang paling penting fahami keadaan sekeliling dan kawal panik,” katanya.

 

Beliau yang kini menjalani latihan siswazah perubatan (housemanship) di Hospital Seri Manjung, Perak, berkata minatnya dalam bidang perubatan mula berputik sejak Tingkatan Tiga dan semakin mendalam selepas kehilangan ayah akibat COVID-19.

 

“Kehilangan ayah menguatkan tekad saya untuk menjadi doktor yang mampu mengubah masa depan seseorang, dan saya akui kerjaya ini menuntut keikhlasan serta ketahanan jiwa yang tinggi,” .

WYMCNAx~