| Universiti Putra Malaysia

Minat bidang pertanian faktor Fatin Syamimi pilih UPM

 

SERDANG, 5 Oktober – Minat mendalam terhadap pertanian menjadi dorongan utama Fatin Syamimi binti Ahmad Termizi,20, memilih Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

 

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu akan menyambung pengajian Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM.

 

“Saya memilih UPM kerana suka dengan persekitaran yang penuh kehijauan terutamanya alam sekitar,” katanya.

 

Walaupun semasa di bangku sekolah Fatin Syamimi tidak mendapat pendedahan khusus terhadap program pertanian, namun minat itu dipupuk daripada amalan keluarga yang gemar bercucuk tanam di sekitar rumah iaitu tanaman yang diusahakan termasuklah sawi, bendi dan petola.

 

 

“Ilmu pertanian ini dekat dengan saya kerana ia sudah lama dipraktikkan dalam keluarga. Bila nampak UPM tawarkan bidang pendidikan dalam pertanian saya yakin inilah pilihan terbaik,” katanya.

 

Fatin Syamimi turut menerima Bantuan Awal Pengajian daripada UPM bagi menampung bayaran yuran serta membeli kelengkapan pengajian.

 

“Ini sebagai sokongan dan sekaligus memberikan saya suntikan semangat untuk terus fokus menamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya.

 

Tambah beliau, langkah pertama menjejakkan kaki ke kampus hijau ini membawa satu harapan besar iaitu menamatkan pengajian dengan jayanya serta meraih keputusan terbaik.

 

“Selain menimba ilmu, saya mahu kongsikan pengalaman dan minat ini kepada pelajar lain supaya mereka juga melihat pertanian sebagai bidang yang luas peluangnya,” katanya.

 

Menyedari bidang pendidikan dan pertanian mampu memberi sumbangan kepada generasi muda, Fatin Syamimi bercita-cita untuk menjadi guru di Kolej Vokasional suatu hari nanti.

WYKGDA5~