SERDANG, 5 Oktober – Pasangan kembar dari Sitiawan, Perak, Nur Najiha Amalina Md Hazrin dan Nur Najiha Amanina Md Hazrin memilih Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai destinasi pengajian tinggi mereka selepas kedua-duanya menerima tawaran melanjutkan pengajian di ‘Menara Ilmu’ ini.
Nur Najiha Amalina, 19, yang menyambung dalam program Bacelor Sains Kimia Perindustrian Dengan Kepujian, Fakulti Sains, berkata walaupun mereka mengikuti program bacelor yang berbeza, ia tidak menghalang mereka untuk terus bersama dalam menempuh alam universiti.
“Kami bersyukur kerana sama-sama mendapat peluang belajar di UPM. Walaupun program pengajian berbeza kami berdua mahu saling menyokong dan terus bersama menimba ilmu di sini,” katanya.
Beliau turut berkongsi hasrat untuk mencapai kecemerlangan sepanjang pengajian di universiti terkemuka itu.
“Saya mahu capai pointer yang baik serta memahami budaya pembelajaran di UPM dan jika ada rezeki saya mahu teruskan pengajian ke peringkat tertinggi kerana ilmu ini sangat luas,” tambahnya.
Sementara itu, adiknya, Nur Najiha Amanina yang mengikuti program Bacelor Pentadbiran Perniagaan (BBA) di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, berkata peluang menyambung pengajian di kampus hijau ini adalah satu rezeki yang amat dihargai.
“UPM menjadi pilihan utama saya kerana minat dalam bidang ini. Saya bersyukur mendapat tempat di sini dan berazam untuk buktikan kemampuan,” katanya.