| Universiti Putra Malaysia

Diuji kemalangan, Pelajar OKU Fizikal UPM bangkit mengorak kejayaan

 

SERDANG, 4 Oktober – Kejadian kemalangan jalan raya pada tahun 2023 hampir meragut semangat gadis ini, namun sokongan keluarga menjadikannya lebih kuat dan tabah hingga berjaya menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini berjaya menjadi pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Pelajar Bachelor Pentadbiran Perniagaan, Sekolah Perniagaan Ekonomi (SPE) UPM, Kuiek Siew Nie yang tiada kaki sebelah akibat kemalangan menyebabkan beliau mempunyai kekurangan fizikal dan mengakui detik malang tersebut merupakan titik paling sukar dalam hidupnya.

 

“Keluarga saya sanggup bercuti mencari rezeki demi menjaga saya. Mereka selalu ingatkan bahawa kekurangan tidak pernah menghalang seseorang untuk berjaya.

 

“Kata-kata itu yang membuatkan saya kuat dan bersemangat semula,” katanya.

 

Walaupun masih dalam tempoh pemulihan, semangat beliau tidak pernah luntur. Sokongan dan pengorbanan keluarga menjadi dorongan utama untuk dia tetap menduduki SPM pada tahun yang sama.

 

“Setiap kali rasa putus asa, saya memikirkan tentang ayah yang bekerja keras sebagai penoreh getah dan ibu yang sentiasa mendoakan saya. Itu sudah cukup untuk saya melangkah ke dewan peperiksaan dengan tekad yang besar,” katanya lagi.

 

 

Kini, beliau melanjutkan pengajian di UPM dengan cita-cita untuk menjadi pegawai pemasaran atau pegawai bank.

 

Walaupun berstatus pelajar OKU fizikal, beliau menegaskan cabaran pergerakan tidak menghalang kecemerlangannya dalam bidang akademik.

 

“Walaupun hidup sederhana ayah tidak pernah berhenti bekerja keras demi memastikan kami cukup segala keperluan. Saya mahu ikut jejak ketekunannya untuk berjaya,” katanya.

 

Beliau turut menitipkan nasihat kepada pelajar lain yang berdepan cabaran hidup agar sentiasa tabah dan tidak mudah berputus asa.

 

“Setiap orang mempunyai ujian berbeza. Jadikan cabaran sebagai kekuatan, kerana kesusahan hari ini boleh bertukar menjadi kejayaan esok,” katanya dengan penuh semangat.

WYKFWA7~