| Universiti Putra Malaysia

Pasangan kembar seiras kongsi minat sama, raih impian bersama di UPM

 

SERDANG, 5 Oktober – Pasangan kembar seiras, Nagarani Ravi dan Nagadevi Ravi,19 memilih UPM untuk melanjutkan pengajian bersama dalam jurusan Bacelor Perakaunan dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Mereka berdua merupakan pelajar lepasan matrikulasi yang berasal dari Pulau Pinang mendapat pilihan pertama dalam bidang yang mereka inginkan termasuk universiti idaman iaitu UPM.

 

Menurut Nagarani, beliau bersama kembarnya memilih UPM kerana meminati universiti yang sama sejak bangku sekolah lagi.

 

“Ini juga memberi kami ruang dan peuang untuk melakukan aktiviti pembelajaran bersama serta saling menyokong dan membantu agar dapat memahami setiap topik dengan lebih baik,” katanya.

 

Tambah beliau, kehadiran adik kembarnya di sisi menjadikan pengalaman menuntut di universiti lebih menyeronokkan dan bermakna.

 

 

““Kami bukan sahaja teman belajar, tetapi juga sahabat baik yang sentiasa memberi dorongan antara satu sama lain,” katanya.

 

Adiknya, Nagadevi berkata, walaupun mempunyai personaliti yang berbeza, mereka saling melengkapi antara satu sama lain dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.

 

“Kami berdua sememangnya menyukai bidang perakaunan kerana bidang ini melibatkan pengiraan dan analisis kewangan yang lebih mencabar,” katanya.

 

Selain itu, mereka sering berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan membina kerjaya yang kukuh dalam sektor kewangan.

 

Dalam pada itu, mereka kini berjauhan dari keluarga namun semangat untuk menuntut ilmu tidak pernah luntur walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

 

 

Pasangan kembar ini turut berkongsi bahawa ayah mereka berdepan masalah kesihatan hingga tidak mampu bekerja seperti dahulu, manakala ibu hanya suri rumah. Mereka berazam untuk untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat membanggakan keluarga.

WYKGEAy~