| Universiti Putra Malaysia

UPM perkenal teknik pembedahan ikan pertama di Malaysia, lonjak inovasi veterinar akuatik

Ringkasan Artikel

Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta satu lagi pencapaian dalam bidang veterinar akuatik apabila memperkenalkan kaedah pembedahan ikan berasaskan sistem anestesia kitar semula yang disifatkan antara yang pertama dibangunkan di Malaysia.

 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

 

SERDANG, 8 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta satu lagi pencapaian dalam bidang veterinar akuatik apabila memperkenalkan kaedah pembedahan ikan berasaskan sistem anestesia kitar semula yang disifatkan antara yang pertama dibangunkan di Malaysia.

 

 

Inovasi dikenali sebagai Fish Anesthetic Delivery System itu dijangka membuka dimensi baharu dalam rawatan hidupan akuatik, sekali gus memperkukuh keupayaan negara dalam bidang kesihatan ikan, akuakultur dan keselamatan makanan.

 

 

Pegawai Veterinar Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UPM, Dr. Mohd Fuad Matori, berkata sistem tersebut dibangunkan hasil penyelidikan berterusan lebih 15 tahun bagi memastikan prosedur pembedahan ikan dapat dilakukan dengan lebih selamat dan sistematik.

 

 

“Kaedah ini menggunakan mekanisme yang membekalkan air beroksigen bersama bahan anestetik terus ke sistem pernafasan ikan sepanjang prosedur dijalankan.

 

 

“Ia membolehkan pembedahan dilakukan di luar air tanpa menjejaskan bekalan oksigen kepada ikan,” katanya.

 

 

Menurut beliau, demonstrasi prosedur laparotomi atau pembedahan membuka rongga abdomen dilakukan ke atas ikan tilapia sebagai model kajian, melibatkan beberapa proses utama termasuk induksi anestesia, insisi, jahitan dan rawatan pasca pembedahan.

 

 

Katanya, keseluruhan prosedur mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit sebelum ikan dipindahkan ke tangki pemulihan khas.

 

 

“Selepas pembedahan, ikan akan dipantau dalam tangki khas selama 10 hingga 14 hari sebelum benang jahitan dibuang, manakala proses penyembuhan penuh boleh mengambil masa sehingga 30 hari,” katanya.

 

 

Beliau berkata, penggunaan antiseptik dan antibiotik sepanjang prosedur membantu mengurangkan risiko jangkitan, selain sampel biopsi turut diambil bagi tujuan analisis mikroskopik dan penyelidikan lanjut.

 

 

Kaedah tersebut kini bukan sahaja digunakan untuk tujuan penyelidikan, malah mula diaplikasikan dalam rawatan ikan hiasan bernilai tinggi seperti koi, ikan emas dan arowana termasuk membuang ketumbuhan serta memperbaiki struktur fizikal ikan.

 

 

Perkembangan itu dilihat mampu memberi nilai tambah kepada industri akuakultur negara yang semakin berkembang, khususnya dalam aspek rawatan, pembiakan dan pengurusan kesihatan hidupan akuatik.

 

 

 

Dr. Mohd Fuad berkata, pembangunan kepakaran dalam bidang kesihatan ikan amat penting memandangkan sektor akuakultur berkait rapat dengan keterjaminan makanan dan industri perikanan negara.

 

 

“Kita perlu bersedia dengan kepakaran dan teknologi yang mencukupi bagi menghadapi cabaran masa depan, terutama dalam memastikan industri perikanan negara terus mampan dan berdaya saing,” katanya.

 

 

Inovasi tersebut turut mencerminkan komitmen UPM dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi yang bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu veterinar, malah memberi manfaat langsung kepada industri dan masyarakat.

XZGUKAK~