| Universiti Putra Malaysia

Insentif PTPTN Jadi Pemangkin Semangat Pelajar – Naib Canselor UPM





SERDANG, 12 Oktober – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, menyambut baik inisiatif kerajaan yang menawarkan pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mulai tahun hadapan.


Beliau berkata, langkah ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan keluarga B40, malah menjadi dorongan penting kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.


“Dorongan ini akan membuatkan pelajar bekerja lebih keras untuk belajar bersungguh-sungguh. Setiap kejayaan yang dicapai adalah bonus, bukan sekadar untuk melunaskan hutang, tetapi sebagai bukti usaha gigih mereka,” katanya pada Majlis bersama Naib Canselor dan Ikrar Pelajar Baharu.


Katanya walaupun bantuan pendidikan ini memberi kelebihan besar kepada pelajar daripada keluarga susah, semangat untuk menuntut ilmu perlu terus disemai tanpa mengira sebarang insentif yang diberikan.





“Pelajar perlu menjadikan usaha dan kecemerlangan sebagai motivasi utama. Insentif ini hanyalah pemangkin kepada kejayaan, bukan alasan untuk berhenti berusaha,” ujarnya.


Dalam pada itu, kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian pendidikan percuma kepada 5,800 pelajar keluarga miskin di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang pendapatan isi rumah kurang dari RM2,705 serta pengecualian bayaran balik pinjaman bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

WYLGQAh~