| Universiti Putra Malaysia

Naib Canselor UPM kongsi pandangan pendekatan holistik keselamatan jalan raya di MRMC 2025

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 6 Nov – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah telah dijemput sebagai panel bagi mebincangkan Towards Zero Fatalities: Strengthening ASEAN's Road Safety Framework di Malaysia Road Maintenance Convention (MRMC) 2025 sempena My ASEAN Roads and Traffic Tech Expo (MyArtte), semalam.

 

Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan berkata, matlamat “Towards Zero Fatalities” hanya dapat dicapai melalui pendekatan menyeluruh yang menggabungkan dasar, infrastruktur, pendidikan dan teknologi secara bersepadu di peringkat ASEAN.

 

Dalam perbincangan tersebut beliau menekankan pembangunan infrastruktur dan rangkaian pengangkutan yang tidak seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar masih menjadi cabaran utama di rantau ini.

 

“Pelaburan besar dalam lebuh raya, landasan kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang perlu disertai dengan pendekatan berasaskan data dan reka bentuk jalan yang mengutamakan keselamatan pengguna paling terdedah seperti penunggang motosikal, pejalan kaki dan penunggang basikal,” katanya.

 

Tambah beliau, universiti memainkan peranan penting sebagai pusat penyelidikan dan inovasi yang dapat menyokong penggubalan dasar keselamatan jalan raya di peringkat nasional dan ASEAN melalui kajian empirikal serta penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan trafik.

 

“Usaha kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-10 untuk memperkukuh infrastruktur asas luar bandar perlu diteruskan dengan penekanan terhadap aspek keselamatan jalan dan keberlanjutan mobilit,” katanya.

 

Dalam pada itu, sesi tersebut turut menampilkan Moderator, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Madya Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak, serta Panelis, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua dari Fakulti Kejuruteraan UPM.

 

 

XZKHGA1~