| Universiti Putra Malaysia

556 graduan UPM Sarawak dirai pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49

 

BINTULU, 1 Nov – Seramai 556 graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1 yang berlangsung selama dua hari, bermula 1 hingga 2 November 2025, di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

 

Majlis penuh istiadat itu disempurnakan oleh Pro Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang menyampaikan ijazah kepada seramai tujuh graduan peringkat Doktor Falsafah, 31 graduan peringkat Sarjana, 130 graduan Bacelor serta 388 graduan Diploma daripada pelbagai program pengajian.

 

Konvokesyen kali ini turut mencatat sejarah dengan kelahiran graduan perintis bagi dua program baharu di UPMS iaitu Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian dan Diploma Pengurusan Perniagaan.

 

Dalam majlis tersebut, Tan Sri Peter turut menyampaikan Hadiah Live Animals Medical Centre kepada Clayrieysia Samantha Michael Solomon, penerima Graduan Terbaik Bacelor daripada program Bacelor Sains Bioindustri dengan Kepujian, serta Hadiah Kecemerlangan Yvonne Sing Sai Hoi kepada Russell Tang Hsien Rhon, penerima Graduan Terbaik Diploma daripada program Diploma Sains Komputer, UPMS.

 

Selain itu, Pingat Emas Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Bintulu Port Holdings Berhad turut diperkenalkan buat pertama kali bagi mengiktiraf kecemerlangan graduan dalam kepimpinan dan kokurikulum. Pingat tersebut disampaikan kepada Wan Irfan Hakim bin Wan Ismail, graduan Diploma Perniagaantani.

 

Majlis konvokesyen ini merupakan yang pertama diadakan selepas penjenamaan semula UPM Kampus Bintulu kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada 30 Jun 2025. Selepas lebih 50 tahun bertapak di bumi Kenyalang, UPMS terus memperkukuh bidang kepakaran dan meneroka disiplin baharu sejajar dengan perkembangan semasa serta aspirasi Sarawak Maju 2030.

 

Antara inisiatif strategik yang diterajui termasuk penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan, projek transformasi penanaman padi AgriHub@Gedong, serta penubuhan Konsortium Universiti Universitas Borneo, yang memperkukuh kolaborasi antara UPMS dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam membina ekosistem pendidikan tinggi dan penyelidikan berimpak global.

 

Sempena konvokesyen tersebut, Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM ke-49 turut diadakan mulai 30 Oktober hingga 2 November 2025 di tapak ekspo berhampiran Dewan Sri Kenyalang. Ekspo yang dibuka dari 8.00 pagi hingga 11.00 malam itu menampilkan pelbagai aktiviti dan jualan hasil pertanian seperti anak pokok buah-buahan, bunga-bungaan, sayur-sayuran, tanah campuran, kompos serta produk ternakan seperti daging lembu, rusa, burung puyuh, arnab dan ikan.

 

Majlis konvokesyen ini bukan sahaja meraikan kejayaan para graduan, malah memperkukuh peranan UPM sebagai peneraju bidang pertanian dan keterjaminan makanan yang menyumbang kepada kemakmuran negeri Sarawak dan pembangunan negara secara keseluruhannya.

 

WYLUEA~