
PAHANG, 16 November – Seramai 164 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Al Sultan Hj. Ahmad Shah telah mengikuti pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara interaktif melalui Program Salam PUTRA Kuala Tahan Siri 2: Perubahan Minda melalui STEM, anjuran Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program berasaskan pendekatan hands-on itu menampilkan enam aktiviti STEM utama yang direka bagi merangsang kreativiti, daya analitis dan eksplorasi saintifik pelajar, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan dekat dengan aplikasi dunia sebenar.
Menurut Pengarah Program, Mahareesshana Krishnah Rao, pendekatan praktikal yang diterapkan menjadi faktor penting dalam meningkatkan keterujaan pelajar terhadap sains dan teknologi.
“Kami mahu pelajar melihat STEM bukan sekadar subjek peperiksaan, tetapi pintu kepada masa depan kerjaya. Teknologi pertanian, sains dan alam sekitar saling berkait, dan pelajar di Kuala Tahan mempunyai potensi besar untuk berjaya,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa antara aktiviti yang paling mendapat perhatian ialah Terrarium STEM, yang memberi peluang kepada pelajar membina ekosistem mini sambil memahami konsep fotosintesis, kitaran air dan fungsi sistem tertutup dalam alam semula jadi.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Jubli Perak Al Sultan Hj. Ahmad Shah berkata, program tersebut memberi pendedahan luar biasa kepada pelajar luar bandar.
“Program ini membuka minda pelajar apabila mereka melihat sendiri bagaimana konsep sains diaplikasikan dalam kehidupan harian, menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan menyeronokkan,” katanya.
“Selain meningkatkan kemahiran saintifik, program ini turut membantu pelajar membuat pilihan aliran pembelajaran menjelang Tingkatan 4, seiring aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkasakan penyertaan pelajar dalam bidang STEM.
“Program Salam PUTRA Kuala Tahan dijangka berpotensi untuk diteruskan sebagai program tahunan bagi meneroka minat dan bakat pelajar luar bandar dalam bidang STEM,’’ ujarnya.



.jpg)


