UPM anjur pameran “KL Sketch Nation”


Oleh: Yasmin Yusoff
Foto Oleh: Mohd Hasrul Hamdan

SERDANG, 30 Mac – Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Pameran KL Sketch Nation yang bermula 1 April sehingga 1 Mei 2016.

Ketua Projek, Dr. Shureen Faris Abdul Shukor berkata pameran itu merupakan kolaborasi bersama sekumpulan anak muda yang berminat dengan aktiviti lakaran bandar, (urban live sketching), seni bina dan masyarakat secara langsung. 

“Pameran KL Sketch Nation ini merupakan aktiviti jaringan masyarakat dalam usaha UPM untuk melibatkan masyarakat kampus dan komuniti luar terutamanya komuniti belia melalui aktiviti seni,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di FRSB, UPM berkata, ‘KL Sketch Nation’ mendapat inspirasi melalui penubuhan Manchester Urban Sketchers di United Kingdom pada Mac 2014.

“Mereka banyak melibatkan diri secara aktif dengan universiti awam dan swasta di seluruh Malaysia dan kerjasama ini telah membuat perubahan dan pembangunan bukan sahaja untuk KL Sketch Nation, tetapi juga untuk ekologi pergerakan seni holistik di Malaysia,” katanya.



‘KL Sketch Nation’ juga telah mengembangkan sayapnya kepada komponen baharu yang dikenali sebagai ‘Sketch Nation Global’ yang memberi tumpuan dalam menyebarkan manifesto yang sama dalam skala antarabangsa.

Sementara itu, pelajar Bacelor Seni Bina Lanskap, FRSB, Khairul Akmal Rahimi Ahmad Kamil, 25, berkata beliau mula berkecimpung dalam seni sketching sejak November 2014.

“Saya melibatkan diri kerana ingin tahu mengenai komuniti ini yang dikatakan mempunyai beberapa pelakar dari ahli-ahli yang mahir dalam bidang ‘drafting in architecture’. Saya mendapat tahu mengenai KL Sketch Nation ini melalui rakan saya yang mengikuti perkembangan mereka ini di laman sosial, Instagram,” katanya.

Rakannya, Abu Bakar Yusof berkata, pameran seni sketching ini mempunyai keunikan dan nilai yang tersendiri terhadap sesuatu lukisan.

“Aktiviti seperti ini boleh membentuk budaya yang sihat di kalangan masyarakat muda. Pendedahan program KL Sketch Nation dapat memupuk semangat anak muda dalam bidang lukisan dan secara tidak langsung boleh mengasah bakat seseorang,” katanya. - UPM