Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Saleha Haron

PUTRAJAYA, 4 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerajui Kluster Pengajaran dan Pembelajaran bagi ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF) 2025 yang menghimpunkan pemimpin pendidikan tinggi serantau dalam membentuk hala tuju masa depan pendidikan ASEAN.
Daripada enam kluster yang diwujudkan, UPM memilih fokus kepada Adaptive Learning dan Value-Based Education: Shaping the Next Generation of Higher Education, sebagai usaha memperkukuh daya tahan dan keanjalan pelajar menghadapi perubahan landskap pendidikan serta cabaran era teknologi mengganggu (disruptive technology) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead) UPM, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zuhainis Saad, berkata pendekatan pembelajaran adaptif amat penting bagi melahirkan graduan yang tangkas (agile) dan berdaya tahan (resilient) dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.
“Kita tidak boleh lagi menjamin bahawa setiap graduan akan mendapat pekerjaan dengan mudah kerana dunia kerja kini berhadapan ancaman automasi dan AI. Oleh itu, universiti perlu menilai semula cara pengajaran dan reka bentuk program akademik supaya lebih bersedia menghadapi masa depan,” katanya pada Sidang Selari 1 sempena Festival of Ideas (FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau berkata, pendidikan berasaskan nilai merupakan inisiatif berterusan yang kini diberi penekanan lebih besar sejajar dengan garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Di UPM kita telah mengintegrasikan Agenda Kelestarian Global dalam Hasil Pembelajaran Program (PLO 12) melalui platform m-Beat, bagi memupuk empati, tanggungjawab sosial dan integriti dalam kalangan pelajar nilai-nilai yang semakin penting tetapi kian terhakis,” katanya.

Tambah beliau, hasil perbincangan dalam forum ini akan diterjemahkan kepada pembangunan modul latihan serantau untuk pensyarah universiti di ASEAN bagi memperkasakan reka bentuk pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, dalam dan luar bilik kuliah.
“Untuk melahirkan pelajar yang benar-benar berdaya tahan, mereka perlu diberi peluang mengalami pembelajaran yang autentik dan berasaskan dunia sebenar. Ini hanya boleh dicapai apabila pensyarah berperanan sebagai pereka pengalaman pembelajaran yang aktif,” katanya.
Sebelum ini, CADe-Lead, UPM, telah menggerakkan inisiatif tersebut melalui Majlis Ketua-Ketua Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembelajaran IPTA (MAGNETIC) serta jaringan ASEAN Learning Innovation and Excellence Alliance (ALIA) yang ditubuhkan pada Ogos lalu, melibatkan kerjasama dalam bidang compassionate pedagogy dan penilaian berasaskan AI.
Modul latihan tersebut dijangka menjadi rujukan kepada negara-negara ASEAN di masa akan datang dan dijangka dapat dikongsikan bersama rakan universiti ASEAN pada suku pertama tahun hadapan.






