| Universiti Putra Malaysia

Pakar getah antarabangsa kongsi hala tuju industri getah mampan di Putra Plantation Forum 15

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 18 Oktober – Hala tuju industri getah mampan serta trend baharu dalam sektor perladangan moden menjadi fokus utama Putra Plantation Forum 15 anjuran Institut Kajian Perladangan (IKP), Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

 

Forum bertemakan “Advancing Sustainable Rubber Production Through International Research Collaboration” itu menghimpunkan pakar antarabangsa, penyelidik muda dan pemain industri bagi membincangkan strategi memperkukuh daya saing sektor getah menerusi kerjasama penyelidikan global.

 

Pengarah IKP UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Khairunniza Bejo, berkata forum berkenaan menjadi platform utama penyatuan pandangan antara akademia dan industri, sejajar dengan komitmen UPM dalam memperkasa agenda perladangan mampan negara.

 

“IKP memainkan peranan sebagai jambatan ilmu dan amalan, menghubungkan kepakaran penyelidik dengan keperluan semasa industri agar sektor perladangan terus berkembang secara lestari,” katanya.

 

Forum itu turut menampilkan Setiausaha Agung International Rubber Research Development Board (IRRDB), Dato’ Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir yang berpengalaman lebih lima dekad dalam industri getah asli, sebagai penceramah utama.

 

Beliau berkata, kepentingan memperkukuh jaringan penyelidikan dan pembangunan (R&D) rentas negara bagi memastikan kelangsungan industri getah di peringkat huluan dan hiliran.

 

“Kerjasama antara IRRDB, universiti dan agensi penyelidikan amat penting. Di Thailand misalnya, pihak berkuasa getah negara turut membiayai penyelidikan di universiti tempatan dan model seperti ini wajar dicontohi bagi memastikan inovasi terus diterjemahkan ke dalam industri,” katanya.

 

Beliau turut berkata IRRDB mempunyai pusat di United Kingdom yang berfungsi sebagai hab kolaborasi antarabangsa dengan pelbagai universiti dapat memperkukuh pertukaran kepakaran dan teknologi global.

 

“Harapan saya agar pakar-pakar universiti dapat bersama IRRDB dalam memperluas jaringan penyelidikan dan membangunkan penyelesaian baharu yang memberi manfaat kepada industri getah dunia,” katanya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Putra Plantation Forum 15, Prof. Dr. Wong Mui Yun, berkata program tahunan berkenaan merupakan salah satu inisiatif utama IKP untuk merapatkan hubungan antara universiti dan industri.

 

“Tumpuan kali ini adalah kepada bidang getah dengan matlamat memperluas perkongsian ilmu dan membina sinergi bersama pemain industri bagi memperkukuh nilai ekonomi perladangan negara,” katanya.

 

Pegawai Penyelidik IKP, UPM, Dr. Halimatun Saadiah Hafid, berkata forum itu membuka ruang kepada peserta untuk memahami situasi sebenar industri getah di Malaysia dan perbandingan dengan negara jiran.

 

“Kita boleh meneroka banyak potensi termasuk di peringkat nurseri, pusat pemprosesan, teknologi torehan, serta integrasi ternakan dalam ladang getah,” katanya.

 

Dalam pada itu, program tersebut disertai oleh penyelidik, pelajar serta wakil industri tempatan dan antarabangsa, yang memanfaatkan peluang berinteraksi dengan tokoh berpengalaman bagi memperkukuh jaringan strategik antara universiti, masyarakat dan sektor perladangan.

XZKHGA~