| Universiti Putra Malaysia

UPM, Kementerian Ekonomi lancar Pusat IPR-INTAN usahawan tani, tingkat pendapatan rakyat

Oleh: Noor Eszereen Juferi & Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

 

SERDANG, 24 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Pusat Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Usahawan Tani (IPR-INTAN) di bawah Kementerian Ekonomi untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui teknologi pertanian.

 

Program yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Tuan Mohd Rafizi Ramli mendapat peruntukan dari Kementerian Ekonomi bagi membina infrastruktur pertanian moden iaitu sebanyak RM31 juta serta menyasarkan peserta yang terdiri daripada 40 peratus graduan universiti, 60 peratus terdiri daripada peserta IPR dan E-Kasih di bawah kementerian itu.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata, melalui inisiatif itu bukan sahaja melahirkan lebih banyak usahawan tani yang berkemampuan, tetapi juga memperbanyakkan penghasilan makanan dalam negara terutamanya dalam sektor pertanian dan akuakultur.

 

“Peserta akan berpeluang untuk mempelajari teknologi pertanian moden yang akan membuka jalan untuk mereka memajukan industri pertanian, membantu memastikan keterjaminan makanan, memperkuatkan ekonomi negara dan pada masa yang sama, memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki kerjaya yang bermakna dalam industri pertanian,” katanya.

 

Tambah beliau, inisiatif itu adalah sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu menjadikan UPM sebagai pusat rujukan pengembangan pertanian tropika iaitu menggembleng pakar pertanian dalam mempergiat aktiviti pengembangan pertanian kepada masyarakat dan komuniti.

 

 

“Program ini turut memperkenalkan teknologi pertanian pintar yang akan memaksimumkan hasil pertanian dan ternakan dengan menggunakan sumber secara lebih efisien,” katanya.

 

Program tersebut menawarkan tempat kepada 130 orang pelatih untuk mengikuti latihan pertanian berasaskan teknologi selama tempoh satu hingga satu setengah tahun serta tumpuan latihan adalah dalam sektor tanaman pertanian dan akuakultur.

 

Pengarah Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT), Prof. Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin berkata, projek Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian IPR-INTAN@UPM ini akan menjadi pemacu yang signifikan dalam meningkatkan hubungan dan kerjasama antara universiti dan industri pertanian.

 

“Kami berharap projek ini dapat membantu dalam mentransformasi sektor pertanian Malaysia dengan mencipta ekosistem pertanian yang lebih maju dan berteknologi tinggi serta melalui IPR-INTAN@UPM ini dapat menjadi rujukan utama industri pertanian, baik dari segi inovasi, pengetahuan atau latihan,” katanya.

 

Sementara itu, graduan UPM, Ummu Hani Abdul Razak, 23, berkata minatnya dalam dunia perniagaan mendorong beliau menyertai IPR ini dan menjadi perserta dalam bidang pertanian fertigasi walaupun beliau merupakan graduan Bacelor Sains Biologi.

 

 

"Di kampung saya ada tanah. Jadi saya akan menuntut ilmu pertanian di sini bermula September 2023 untuk menjadi usahawan tani dan memanfaatkan ilmu ini pada tanah yang ada mungkin melalui tanaman cili, melon atau salad," katanya. - UPM

SXEbRA~