Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
SERDANG, 10 Okt – Pendidikan literasi kewangan yang menyeluruh menjadi kunci penting dalam membentuk daya tahan ekonomi masyarakat bagi memastikan kesejahteraan kewangan isi rumah dapat dicapai dalam jangka panjang.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, literasi kewangan tidak hanya bergantung pada pengetahuan semata-mata, tetapi perlu disertai dengan amalan pengurusan kewangan yang betul dan pendidikan kewangan yang berterusan.
“Berdasarkan kajian ramai yang tahu kepentingan membuat simpanan untuk kecemasan, tetapi tidak melakukannya. Ilmu semata-mata tidak mencukupi jika tidak dipraktikkan. Pendidikan kewangan perlu bergerak melangkaui kaedah tradisional dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi kewangan (fintech) seperti aplikasi digital,” katanya
Prof. Dr. Mohamad Fazli ketika menyampaikan Syarahan Inaugural bertajuk “Sustaining Financial Well-Being: Do Financial Literacy, Financial Behaviour and Financial Education Matter?” di UPM berkata, literasi kewangan ini boleh dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, bukan sahaja untuk individu, tetapi juga untuk kestabilan ekonomi negara secara holistik.
“Literasi kewangan ini bukan sekadar kemahiran akademik, tetapi satu keupayaan hidup yang membantu individu membuat keputusan bijak bagi mengelak perangkap hutang dan merancang masa depan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau turut mengulas isu kecukupan gaji dalam kalangan B40, M40 mahupun T20, berkata sikap dan disiplin menguruskan kewangan lebih penting berbanding jumlah pendapatan semata-mata.
“Prinsip utama ialah hidup dalam kemampuan. Jika gaji RM2,500, belanjalah sekitar RM2,300 agar ada lebihan. Ramai yang berpendapatan RM3,000 tetapi berbelanja seolah-olah berpendapatan RM5,000 inilah yang menyebabkan kewangan tidak pernah cukup,” katanya.
Tambah beliau, pendidikan kewangan perlu bermula sejak usia muda melalui keluarga dan sistem pendidikan.
“Walaupun tiada subjek khusus di sekolah, literasi kewangan boleh diterapkan secara tidak langsung menerusi kelab, aktiviti kokurikulum, minggu literasi kewangan, kempen bijak menabung atau pertandingan menabung.
“Lebih awal kita mendidik anak-anak mengenai pengurusan wang, lebih tinggi peluang mereka membentuk tabiat kewangan yang baik,” katanya.
Beliau yang juga merupakan pakar bidang literasi kewangan, teknologi kewangan, kesejahteraan kewangan, kerentanan kewangan dan pengurusan hutang turut mengingatkan tentang cabaran era digital yang semakin mencabar tahap literasi kewangan rakyat Malaysia, termasuk budaya membeli-belah dalam talian dan pinjaman mudah.
“Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang diterajui Financial Education Network (FEN) amat penting untuk memperkasakan rakyat. Jika masyarakat mempunyai pengetahuan dan sikap kewangan yang betul, mereka lebih berdaya tahan menghadapi sebarang cabaran ekonomi,” katanya.
Turut hadir ke syarahan tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib.