| Universiti Putra Malaysia

Lima OKU penglihatan sertai program rekreasi Bacelor Sains Taman dan Rekreasi pupuk nilai saling menghormati

Oleh : Farihatul Aini Balqis Md Fahim

PUCHONG, 11 JANUARI – Seramai lima orang golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan menyertai program rekreasi yang dianjurkan oleh pelajar tahun tiga Bacelor Sains Taman dan Rekreasi (BSTR) Universiti Putra Malaysia (UPM) memupuk nilai inklusif dalam kalangan semua pihak yang terlibat.

Program Unleash Your Power yang berlansung bermula 9 hingga 11 Januari 2023 di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), Puchong memberi peluang dan pendedahan terhadap aktiviti rekreasi luar kepada OKU penglihatan.

Penyertaan ahli Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) dapat mengurangkan stigma masyarakat yang sering memandang rendah kebolehan seseorang terutama golongan OKU penglihatan.

Seorang peserta, yang mesra dengan gelaran Sidi berkata pemganjuran program seperti ini membuka peluang bahkan memberi pendedahan kepada golongan sepertinya merasai pengalaman seperti orang biasa.

“Ini merupakan program rekreasi luar pertama yang saya ikuti sejak saya menjadi orang buta. Program ini berjaya membuka peluang kepada golongan buta untuk merasai sendiri pengalaman melakukan aktiviti rekreasi luar,” katanya.

Penganjuran program seperti ini dapat membuka potensi, kebolehan, serta penyertaan OKU dalam pelbagai aspek.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah keyakinan di air, menjejak, berkhemah, abseiling air terjun dan juga malam BBQ yang sentiasa mementingkan aspek keselamatan peserta. -UPM

WXFcJAz~