| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa komuniti pesawah Pekan melalui Projek Labu Manis Merchong

SERDANG, 5 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan masyarakat melalui pelaksanaan Projek Labu Manis Merchong bersama komuniti pesawah di Pekan, Pahang, baru-baru ini.

 

Program itu merupakan siri kelima program pemindahan ilmu UCTC di bawah Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI, yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Inisiatif ini sejajar dengan falsafah Pembangunan Madani, yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui ilmu, inovasi dan pembangunan komuniti mampan.

 

Menurut Timbalan Pengarah UCTC merangkap Ketua Projek, Prof. Dr. Norsida Man, program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan pendapatan sampingan 30 peserta komuniti dalam memperkukuh pengurusan serta penghasilan tanaman labu manis yang telah lama diusahakan oleh mereka.

 

“Program ini dilaksanakan selama setahun dan memberi tumpuan kepada aspek teori, amali serta pemantauan berterusan supaya komuniti dapat meningkatkan hasil pertanian dan kualiti produk yang diusahakan,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, kawasan sawah seluas lebih 3,000 hektar di Merchong hanya digunakan untuk satu musim penanaman padi setahun disebabkan kekangan sistem pengairan dan faktor iklim. Justeru, komuniti pesawah memilih untuk menanam labu manis sebagai tanaman selingan selepas musim menuai sekitar bulan Mac kerana tanaman ini sesuai dengan jenis tanah sawah dan lebih tahan lasak.

 

“Inisiatif ini penting bagi memastikan pendapatan komuniti tidak terjejas selepas musim menuai serta dapat meningkatkan daya tahan ekonomi luar bandar,” katanya.

 

Bagi memastikan kejayaan projek, UPM telah membangunkan enam modul latihan khusus yang merangkumi aspek agronomi, pengurusan penyakit dan perosak, serta pemprosesan produk berasaskan labu manis.

 

Program siri kelima ini dikendalikan oleh Dr. Norsazilawati Saad dari Fakulti Pertanian selaku ketua modul perosak dan penyakit tanaman, serta Ts. Dr. Rozzamri Ashari dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan yang mengetuai modul penghasilan produk labu manis.

 

Komuniti peserta turut dibawa melawat ladang dan makmal UPM, bagi memberi pendedahan kepada suasana pembelajaran sebenar di universiti.

 

“Kami memperkenalkan mereka kepada pengalaman baharu seperti mengenal pasti perosak dan penyakit menggunakan mikroskop. Peserta amat teruja melihat spesimen secara dekat dan memahami kaedah kawalan secara saintifik,” kata Dr. Norsazilawati.

 

Sementara itu, Ts. Dr. Rozzamri berkata pasukannya telah membangunkan tiga produk inovatif berasaskan labu manis iaitu ais krim, kerepek dan mufin labu, yang mudah disediakan serta sesuai dipasarkan kepada semua lapisan masyarakat.

 

“Jika diusahakan secara konsisten, ketiga-tiga produk ini mampu menjadi sumber pendapatan baharu kepada komuniti. Kami mahu mereka melihat potensi tanaman ini bukan sekadar hasil tani, tetapi juga asas kepada produk nilai tambah,” katanya.

 

Ketua komuniti, Encik Sabri Muhamad, menzahirkan penghargaan kepada pihak UPM kerana memberi peluang pertama kepada mereka mengikuti latihan dan pembelajaran secara langsung di universiti.

 

“Kami membawa sendiri hasil labu dari Merchong untuk sesi amali bersama pihak UPM. Pengalaman ini amat bermakna kerana kami belajar banyak ilmu baharu untuk dibawa pulang dan diamalkan,” katanya.

 

Menurut Puan Nafisah Awang, Ketua Jawatankuasa Program, projek ini turut memberi peluang kepada peserta melawat kilang kerepek Agro Chips, milik alumni UPM, bagi meninjau model perniagaan produk agro berasaskan komuniti.

 

“Kami berharap perkongsian ilmu dan lawatan industri ini dapat mencetuskan idea-idea baharu dalam memperkasa tanaman dan produk labu manis Merchong sehingga mampu dikenali sebagai produk komuniti unggul pada masa hadapan,” katanya.

WYLFUAK~